Kelab malam, pub dan pusat karaoke kekal tidak dibenarkan beroperasi - Ismail Sabri
Astro Awani
Februari 9, 2021 21:34 MYT
Februari 9, 2021 21:34 MYT
KUALA LUMPUR: Operasi kelab malam, pub dan pusat karaoke hiburan tidak pernah dibenarkan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac tahun lalu, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.
Beliau menegaskan terdapat salah faham terhadap kebenaran beroperasi bagi sektor tersebut selama ini.
"Ada salah faham, operasi kelab malam merangkumi kelab malam, pub dan pusat karaoke hiburan tidak dibenarkan sejak PKP pada Mac tahun lalu.
"Ketiga-tiga perniagaan itu tidak pernah diberi kebenaran dan kekal berada dalam senarai larangan beroperasi.
"Statistik serbuan dan tangkapan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan pusat hiburan termasuk pub dan kelab malam dari 18 Mac 2020 sehingga 31 Januari lalu merekodkan 951 premis pusat hiburan diserbu, 9,587 kompaun dikeluarkan dan 4,666 tangkapan dilakukan.
"Ini menunjukkan kerajaan tidak berkompromi dalam soal pembukaan kelab malam, pub dan pusat karaoke hiburan kerana ia masih dalam senarai terlarang," katanya pada sidang media pelaksanaan PKP pada Selasa.
#ismail sabri yaakob
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#pub
#kelab malam
#karaoke hiburan
#Menteri Kanan Pertahanan
#pusat karaoke