Kelab malam paling banyak langgar PKPP - Ismail Sabri

Irwan Muhammad Zain
September 1, 2020 17:38 MYT
Ismail berkata, task force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis dan orang awam yang langgar SOP. -Gambar hiasan
Kerajaan tidak akan teragak-agak membatalkan lesen kelab malam sekiranya didapati beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga Disember ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tindakan itu perlu diambil susulan peningkatan sebanyak 600 kes ingkar PKPP melibatkan aktiviti pusat hiburan itu.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan tegas terhadap premis pusat hiburan yang beroperasi lebih masa termasuk menarik balik permit.
“Kerajaan memandang serius perkara ini kerana kelab malam paling banyak melanggar undang-undang semalam.
"Saya ingin tegaskan bahawa kelab malam dan pub masih belum boleh dibuka bahkan tindakan itu adalah salah di sisi undang-undang.
"Kalau kita lihat di Eropah, kelab malam juga masih belum beroperasi... (justeru) pengusaha premis hiburan itu di negara ini boleh dihadapkan ke mahkamah.
Task force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP” katanya dalam sidang media harian perkembangan PKPP di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kawalan sempadan diperketatkan bermula hari ini terutama membabitkan rakyat dari negara yang akan mengalami musim sejuk dalam usaha memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19 di Malaysia..
Katanya, Kementerian Kesihatan diminta membuat perancangan lebih terperinci berkaitan isu terbabit terutamanya melibatkan kes import.
“Dalam mesyuarat tadi kita berbincang soal ini dan Kementerian Kesihatan melahirkan kerisauan berhubung (kemungkinan) kes akan meningkat mendadak apabila musim sejuk di negara Eropah dan Asia.
“Apa yang lebih membimbangkan adalah rakyat Malaysia yang berada di negara musim sejuk dan mereka akan balik... kita tidak boleh sekat rakyat untuk balik kerana bertentangan dengan akta.
“Sekarang ini kita melihat (tindakan) secara menyeluruh untuk rakyat tempatan dan warga asing,” katanya.
#batal #ismail sabri yaakob #kelab malam #lesen #pbt #PDRM #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKP #PKPP
;