Kelab malam, karaoke dibenarkan di Sabah mulai esok tetapi tari-menari tidak boleh

Eleanor Michelle Patrick
Mei 13, 2022 22:28 MYT
Sabah membenarkan pengoperasian kelab malam dan karaoke dengan tiga ketetapan SOP ketat.
KOTA KINABALU: Sabah kini membenarkan pengoperasian premis kelab malam dan karaoke berlesen mulai 14 Mei ini dengan tiga ketetapan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pertama, tari-menari adalah tidak dibenarkan sepanjang berada dalam premis.
Manakala, tambah Masidi, individu yang memasuki kelab malam dan karaoke juga hendaklah lengkap divaksin dan menerima dos penggalak.
"Selain itu, pemeriksaan mengenai tahap risiko dan imbasan MySejahtera adalah diwajibkan sebelum memasuki kelab malam atau karaoke," katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata sebanyak 78 kes baharu dilaporkan pada hari ini iaitu peningkatan sebanyak 21 kes berbanding semalam.
Menurutnya, pertambahan jumlah jangkitan yang berpunca daripada aktiviti-aktiviti sambutan perayaan mula menepati ramalan awal.
"Sebanyak 12 daerah mencatatkan pertambahan jangkitan baharu berbanding sembilan daerah yang merekodkan penurunan kes.
"Kota Kinabalu dengan 21 kes dan Papar 16 kes merupakan dua daerah di negeri ini yang mencatatkan jangkitan baharu dua angka," katanya.
Tambah beliau, angka jangkitan harian di Kota Kinabalu dan dan daerah-daerah sekitar bandaraya di jangka kekal tinggi atau bertambah sehingga minggu pertama bulan Jun.
#operasi kelab malam dibenarkan #SOP Sabah #karaoke #jangkitan baharu #COVID-19
;