Kelab malam, bistro tidak boleh beroperasi sepanjang PKPB di Sarawak
Astro Awani
Mei 18, 2020 16:59 MYT
Mei 18, 2020 16:59 MYT
Kelab malam dan restoran yang berkonsepkan bistro tidak dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak.
Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin.
Menurut Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, terdapat premis dalam kategori berkenaan mengambil peluang untuk beroperasi sejak pembukaan sektor ekonomi negeri itu pada 12 Mei lalu.
“Terdapat salah faham kerana ada premis seperti restoran berkonsepkan bistro masih dibuka. Jadi kami ambil keputusan untuk tidak membenarkan premis-premis seperti ini beroperasi terlebih dahulu,” katanya.
Jelas Uggah, keputusan jawantankuasa ini diambil kerana pengoperasian premis berkenaan melibatkan perhimpunan ramai yang boleh meningkatkan risiko penyebaran COVID-19.
Tambah beliau, amaran dan arahan penutupan premis akan dikeluarkan kepada pemilik kedai, syarikat dan pasaraya sekiranya mereka ingkar dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Jadi kita berharap semua yang telah diberi peluang semasa pembukaan sektor ekonomi ini mengikut garis panduan seperti mengawasi penjarakan sosial dan kebersihan untuk mengekang penularan COVID-19,” jelasnya.
Sementara itu, Sarawak berjaya merekodkan sifar kes lima hari berturut-turut dalam perkembangan terbaharu positif COVID-19 di negeri itu.
Namun begitu, Uggah mengingatkan agar orang ramai tidak lalai dan menganggap perjuangan ini telah selesai.
“Inilah cabaran kita dan kita perlu berusaha bersungguh-sungguh agar tidak berlaku gelombang kedua seperti di negara luar,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai untuk terus memberikan kerjasama dan mengambil serius pendekatan normal baharu yang diaplikasi dalam pelbagai sektor di negeri tersebut.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Bistro
#COVID-19
#Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak
#JPBN
#kelab malam
#Sarawak