Kelab Belia Prihatin pergiat usaha selamatkan Harimau Malaya

Astro Awani
Jun 20, 2022 17:46 MYT
Kelab Belia Prihatin Malaysia (Belia Prihatin) akan terus mempergiatkan usaha menyelamatkan spesis terancam, Harimau Malaya. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kelab Belia Prihatin Malaysia (Belia Prihatin) menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang berikrar dan menyeru usaha bersepadu dalam menyelamatkan Harimau Malaya.
Belia Prihatin percaya melalui kempen kesedaran alam sekitar yang menyeluruh seperti We Be-Leaf Together, dengan tumpuan kepada program dan inisiatif secara berdepan dan terus bersama masyarakat, adalah salah satu cara berkesan untuk memastikan agenda ini mendapat perhatian masyarakat awam.
Presiden Kelab Belia Prihatin Malaysia, Luqman Hakim Md Zim menyeru agar agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan-badan korporat dan organisasi masyarakat sivil dapat bekerjasama.
"Kerjasama itu adalah dengan menyediakan penyelesaian proaktif dan menggiatkan pelaksanaan instrumen-instrumen berkaitan sama ada secara perundangan mahupun teknologi sokongan bagi mengawal kadar kepupusan dan keterancaman spesies Harimau Malaya dan lain-lain spesies terancam," ujarnya.
#harimau Malaya #Malaysia #spesies terancam #hidupan liar
;