Kekurangan wanita dalam kabinet membimbangkan?
Azyyati Ahmad
Mei 16, 2013 07:48 MYT
Mei 16, 2013 07:48 MYT
Sidang kabinet baru telah terbentuk secara rasminya pada 16 Mei, namun penglibatan wanita pada sidang kabinet kali ini dilihat berkurangan.
Daripada 35 jawatan menteri, hanya dua yang dipegang oleh wanita. Walaupun bilangan menteri wanita tetap sama dengan kabinet sebelumnya, peratusan menteri wanita telah menurun daripada 6.45% (dua daripada 31 jawatan menteri) kepada 5.7%.
Dalam satu kenyataan media, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang mewakili DAP menyatakan kekecewaannya terhadap kurangnya penyertaan wanita pada sidang kabinet baru di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
"Kita patut memperkasakan daya wanita. BN sebelum ini mengatakan akan meningkatkan penglibatan wanita dalam menjana keputusan hingga mencapai 30 peratus.
"Dengan dua menteri wanita dalam kabinet, peratusannya kurang daripada 10 peratus. Kita perlu meningkatkannya sehingga 15-20 peratus lagi bagi mendekati sasaran 30 peratus. Wanita juga tidak seharusnya diletakkan kepada portfolio tertentu," katanya lagi kepada media.
Walaubagaimanapun, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bila dihubungi berkata, beliau tidak melihat kurangnya penglibatan wanita dalam sidang kabinet kali ini sebagai perkara yang membimbangkan.
“Hal ini kerana Perdana Menteri memilih mereka yang menjawat jawatan dalam kabinet berdasarkan kelayakan dan kredibiliti masing-masing.
“Barisan kabinet yang dipilih oleh Perdana Menteri merupakan barisan kabinet yang membawa suara semua dan jumlah golongan wanita di dalam kabinet pada kali ini juga mampu memperjuangkan isu wanita dalam segala aspek,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.
Rosnah juga berpendapat seseorang yang dilantik untuk sesuatu jawatan haruslah seseorang yang layak, bukan kerana kuota dan sebagainya.
Tambahnya lagi barisan kabinet adalah golongan yang memperjuangkan segala isu rakyat maka sidang kabinet lebih memerlukan individu yang mampu memberi khidmat terbaik untuk rakyat.
Menurut pandangan penganalisis politik antarabangsa (Asia Tenggara) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib Khalid, kurangnya wanita dalam sidang kabinet kali ini adalah refleksi daripada kurangnya calon wanita yang bertanding dan menang dalam PRU13 yang lalu.
“Bagi meningkatkan partisipasi wanita dalam barisan kabinet akan datang, mungkin wanita dapat diberi ruang dan peluang kepada jawatan senator di dalam Dewan Negara,” ujar Kartini.