Kekurangan tenaga kerja asing bukan berpunca dari KSM - Saravanan

Fareez Azman
September 22, 2022 17:24 MYT
Saravanan ketika bertemu para pengamal media selepas Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia di Menara Manickavasagam, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Isu kekurangan tenaga kerja asing seperti yang didakwa sesetengah majikan bukan berpunca daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM), sebaliknya masalah timbul di peringkat majikan dan agensi.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, sesetengah majikan memilih tenaga kerja asing dari negara sumber tertentu sahaja meskipun kuota dikeluarkan terhad menyebabkan isu itu terus berlarutan.
"Tiada masalah, ramai majikan lebih memilih pekerja daripada Bangladesh dan Indonesia sebab bahasa, agama dan sebagainya.
"Tetapi hari ini kita lihat dari segi pengambilan Bangladesh dan Indonesia dah mula kurang.
"Sebab itu kita cadangkan majikan ambil daripada negara lain, jangan hanya bergantung pada satu negara," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan bersama Menteri Sumber Manusia di ibu pejabat MIC pada Khamis.
Tambah Saravanan, kebergantungan kepada negara sumber tertentu juga menyebabkan pelbagai syarat dikenakan oleh negara terbabit.
"Apabila bergantung pada satu negara banyak sangat syarat (dikenakan), sebab mereka (negara sumber) tahu kita bergantung kepada mereka.
"Apabila kita bincang Memorandum Persefahaman (MoU) dan sebagainya, pelbagai syarat dikenakan, sebab itu saya minta majikan untuk pilih negara lain," katanya lagi.
Mengulas lanjut ujar Saravanan, ketika ini kerajaan menerusi Kementerian KSM telah meluluskan kuota 400,000 pekerja asing menerusi MoU bersama 14 buah negara sumber.
Malah kementeriannya turut meminta majikan agar menggajikan pekerja daripada negara Sri Lanka, dengan 10,000 kuota yang diberikan ketika ini.
"Kita lihat ramai dapat kelulusan, tapi (untuk) mengambil (pekerja asing) mereka masih tertangguh, ia sangat perlu dipercepatkan sebab bukan lagi tanggungjawab kerajaan.
"Kerajaan telah menyelesaikan beri kebenaran lebih kurang 400,000 kuota kepada majikan dan majikan perlu segera mengambil pekerja.
"Jangan seolah-olah beri gambaran ada masalah di peringkat kementerian, kementerian dah tiada isu lagi dah, kita hanya menyelesaikan MoU dengan negara sumber," katanya.
Tambah Saravanan, pelbagai langkah telah diambil kerajaan bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja sejak pandemik COVID-19 melanda negara, termasuk menambah jumlah agensi pengambilan buruh asing daripada 25 kepada 100 agensi.
"Peringkat Malaysia tiada halangan, sebelum ini ada orang pertikai sama ada kita hadkan agensi pengambilan buruh asing.
"Jemaah Menteri dah ambil keputusan kita menambah 100 agensi, setakat hari ini kita telah meluluskan 75 agensi, jadi tiada masalah lagi di peringkat negara kita," katanya lagi.
#ksm #tenaga kerja asing #agensi #majikan
;