Kekurangan profesional mahir bidang keselamatan siber dan tadbir urus perlu diatasi - Fortinet

Bernama
Mei 9, 2023 04:40 MYT
DICKSON WOO: Fortinet komited untuk merapatkan jurang kemahiran dan menyediakan pengetahuan serta kesedaran keselamatan siber yang diperlukan kepada semua pekerja dalam sesebuah organisasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Isu yang melibatkan tadbir urus dan kekurangan profesional keselamatan siber yang mahir bagi menangani cabaran keselamatan rangkaian perlu diatasi, kata penyedia penyelesaian keselamatan siber global, Fortinet.
Pengurus negara Fortinet Malaysia Dickson Woo berkata adalah penting untuk lebih peka terhadap kekerapan dan kecanggihan serangan siber yang semakin meningkat, serta pelanggaran data ketika Malaysia sedang menerima perubahan digital dan menjadi peneraju dalam ekonomi digital.
"Kekurangan profesional yang mahir dalam industri keselamatan siber hanya menjadikan isu ini lebih mencabar.
"Di Fortinet, kami komited untuk merapatkan jurang kemahiran dan menyediakan pengetahuan serta kesedaran keselamatan siber yang diperlukan kepada semua pekerja dalam sesebuah organisasi," katanya pada taklimat media mengenai penemuan kaji selidik terhadap perubahan landskap keselamatan siber di Malaysia pada Selasa.
Beliau berkata dengan penyelesaian SASE miliknya, Fortinet bermatlamat untuk memudahkan pengurusan dasar keselamatan dan meningkatkan pengalaman pengguna untuk pekerja jarak jauh, membantu perniagaan Malaysia menangani cabaran keselamatan tempat kerja yang sedang berubah.
Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh International Data Corp (IDC), 86 peratus responden Malaysia telah mengalami sekurang-kurangnya dua kali peningkatan dalam insiden keselamatan, melibatkan insiden keselamatan paling berisiko termasuk pancingan data, penafian perkhidmatan, kecurian data/identiti, perisian tebusan, dan kehilangan data.
Bagaimanapun, hanya 49 peratus organisasi di seluruh Asia mempunyai kakitangan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan yang berdedikasi, menjadikan mereka lebih terdedah kepada insiden dan pelanggaran keselamatan.
Mengenai rancangan Malaysia untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya keselamatan siber, Naib Presiden Fortinet untuk Asia Tenggara dan Hong Kong Peerapong Jongvibool berkata asas ini amat penting.
"Namun, sama ada rangka kerja semasa yang kita ada cukup atau tidak, pada pandangan peribadi saya, ia tidak akan pernah mencukupi kerana kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Kita perlu terus memajukannya dan belajar daripada negara lain dasar yang sah digunakan," katanya.
Pada Januari, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan keselamatan siber negara.
Beliau berkata kementerian akan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti CyberSecurity Malaysia untuk menubuhkan suruhanjaya itu.
-- BERNAMA
pTAG: Fortinet, keselamatan siber, IDC, Asia, Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia/p
#Fortinet #keselamatan siber #ekonomi digital #pelanggaran data
;