Kekurangan penerbangan ke dan dari Labuan disebabkan 'faktor muatan' - Hasbi
Bernama
September 26, 2024 04:45 MYT
September 26, 2024 04:45 MYT
LABUAN: Kekurangan penerbangan ke dan dari Labuan terutamanya disebabkan oleh 'faktor muatan' -- kelayakan ekonomi yang dipertimbangkan oleh syarikat penerbangan dalam menentukan kekerapan penerbangan berdasarkan permintaan penumpang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, walaupun Kementerian Pengangkutan (MoT) mempunyai kuasa untuk meluluskan penerbangan baharu atau tambahan atas permintaan, namun keputusan akhir terletak pada syarikat penerbangan komersial.
"Kami tidak boleh secara sembarangan mengarahkan syarikat penerbangan untuk meningkatkan penerbangan ke destinasi tertentu kerana ia tetap merupakan keputusan komersial berdasarkan faktor muatan," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Labuan pada Khamis.
"Jika syarikat penerbangan memohon untuk penerbangan baru atau tambahan, kami boleh meluluskan permohonan tersebut, tetapi akhirnya, ia terletak di tangan pengendali," katanya.
Beliau berkata, kekangan tersebut telah menyebabkan semakin ramai pelancong, perniagaan tempatan, dan penduduk berasa kecewa kerana semakin sukar untuk melakukan perjalanan ke dan dari pulau itu.
"Jumlah penerbangan yang berkurangan bukan sahaja menghalang pelancong, tetapi juga memberi kesan kepada sektor pelancongan tempatan yang bergantung sepenuhnya kepada trafik pengunjung untuk kelangsungan hidup mereka.
Hasbi berkata, bagi mengatasi isu ini, pihak berkuasa tempatan dan organisasi pelancongan perlu bekerjasama untuk meningkatkan permintaan penerbangan dengan menjadikan Labuan sebagai destinasi yang lebih menarik.
"Untuk syarikat penerbangan mempertimbangkan penambahan lebih banyak penerbangan, kami perlu meningkatkan permintaan...Ini memerlukan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan badan pelancongan, mencipta lebih banyak tarikan dan secara aktif mempromosikan Labuan sebagai lokasi yang mesti dikunjungi," katanya.
Dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang semakin hampir, usaha perlu ditumpukan kepada peningkatan tarikan pelancongan. - BERNAMA