Kekurangan nilai moral berpotensi lahirkan pembuli - Pakar
Bernama
Disember 21, 2021 09:00 MYT
Disember 21, 2021 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Bagaikan tiada noktah, insiden buli membabitkan keganasan fizikal terus menghantui institusi pendidikan di negara ini dengan yang terbaharu dikesan pada awal bulan ini.
Insiden melibatkan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air itu terbongkar menerusi rakaman video berdurasi 10 minit yang tular, mengundang kecaman netizen dan masyarakat amnya.
Kejadian turut menimbulkan persoalan ke manakah perginya empati dan kemanusiaan dalam diri remaja yang masih dalam peringkat "rebung" itu sehingga sanggup beramai-ramai menumbuk seorang rakan sebaya.
Tidakkah mereka belajar daripada kejadian buli yang meragut nyawa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)?
Menurut pakar pendidikan dan psikologi, tidak semua pembuli berasal daripada keluarga bermasalah atau akibat masalah keluarga atau pernah menjadi mangsa buli. Sebaliknya ada yang menjadi demikian disebabkan kekurangan nilai murni dalam pembangunan sahsiahnya.
LUPA NILAI MURNI
"Masalah buli berlaku dalam kalangan pelajar adalah sangat berkait dengan nilai yang mereka pegang. Maksudnya, kalau seseorang itu mempunyai nilai agama yang baik, nilai moral yang baik, mereka tidak akan melakukan buli," kata pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad kepada Bernama.
Menurutnya, faktor nilai murni kurang diberi perhatian dalam kes buli kerana kebanyakan ahli masyarakat menuding jari kepada masalah keluarga seperti pergaduhan ibu bapa atau pembuli sendiri pernah menjadi mangsa.
Ada pembuli katanya menerima kasih sayang yang mencukupi daripada keluarga, namun hilang nilai murni kerana pengaruh rakan dan persekitaran seperti keganasan dalam permainan video dan juga filem yang mereka anggap sebagai kelakuan hebat.
Akibat lemah aspek kerohanian, mereka tidak dapat membezakan di antara yang betul dan salah, katanya dan menambah, lebih buruk lagi ada yang membuli sekadar untuk berseronok atau suka-suka.
Justeru, tidak menghairankan apabila pembuli mentertawakan mangsa yang kesakitan, walhal jika ada nilai kasih antara manusia dalam diri mereka, perkara itu tidak akan berlaku, tegas beliau.
"Saya sedih melihat pelajar bijak pandai yang masuk sekolah asrama penuh tetapi tidak menggunakan pemikiran rasional untuk membezakan mana yang baik dan buruk, sedangkan bagi saya isu buli tidak menuntut kematangan yang tinggi.
"Malah, anak kecil, sekiranya diberikan penekanan pendidikan akhlak, moral dan agama di peringkat awal juga mampu membezakan perbuatan seperti itu adalah tidak bermoral mahupun wajar," katanya, menambah tuntutan kehidupan menyebabkan ramai ibu bapa menyerahkan sepenuhnya aspek pembangunan nilai sahsiah si anak kepada sekolah dan pembantu rumah.
SEKOLAHKU SEJAHTERA, BERKESANKAH?
Isu kekurangan nilai murni dalam kalangan generasi muda, khususnya di peringkat sekolah, turut disentuh oleh beberapa pihak sebelum ini, termasuk pakar agama yang merumuskan kejadian buli juga disebabkan ketidakberkesanan pendidikan agama dan moral yang diajar di sekolah.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor dipetik berkata buli di sekolah berasrama penuh akan terus berlaku dari semasa ke semasa, dan perkara itu berkait dengan kurangnya nilai moral dan budi bahasa dalam kalangan segelintir pelajar.
Pandangan serupa turut disuarakan oleh Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) yang berkata budaya buli khususnya dalam kalangan pelajar, tidak akan berleluasa sekiranya mereka benar-benar menghayati serta mempelajari nilai-nilai murni yang diterapkan dalam kurikulum Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral di sekolah sejak sekian lama.
Menyedari akan kepentingan nilai moral, Kementerian Pendidikan kini dalam peringkat akhir sesi libat urus berkaitan pengenalan konsep 'Sekolahku Sejahtera' yang antara lain bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Menterinya Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata konsep itu membolehkan elemen nilai murni diterapkan sejak kecil dalam kalangan murid, sekali gus membantu mereka menilai kesan baik dan buruk sesuatu perbuatan atau perkara apabila mereka dewasa kelak.
Bagi Anuar, pengenalan konsep itu merupakan satu langkah wajar memandangkan selama ini pendidikan berkaitan dengan agama mahupun moral dalam kalangan pelajar, tidak kira peringkat rendah atau menengah, tidak diutamakan sepertimana subjek akademik lain seperti Matematik dan Sains.
"Masih ada dalam kalangan kita yang meletakkan pendidikan berkaitan moral, sivik hanyalah sampingan dan ini dapat dilihat apabila pelajar hanya mempelajarinya beberapa jam sahaja dalam seminggu.
"Malah, satu ketika dulu, saya pernah dimaklumkan ibu bapa bahawa ada sekolah yang menggunakan waktu Pendidikan Moral dan Sivik untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan sebagainya. Saya tidak nafikan subjek Sains dan Matematik itu penting, tetapi perlu ada keseimbangan di antara akademik dan pembangunan nilai murni," katanya.
TIBA MASA UNTUK "4M"
Menurut Anuar, sudah tiba masa aspek moral diberi penekanan sewajarnya dan ditambah kepada '3M', iaitu selain menguasai kemahiran "membaca, menulis dan mengira", satu lagi "M" iaitu moral juga perlu dikuasai pelajar.
Ini seiring dengan falsafah pendidikan negara yang bermatlamat membentuk modal insan seimbang merangkumi aspek pendidikan, rohani dan jasmani, katanya.
Bagaimanapun, untuk tujuan itu, Anuar berkata penekanan aspek nilai murni perlu diterjemahkan secara praktikal sepertimana yang diaplikasikan di Jepun, kerana pendekatan tersebut lebih berkesan dalam meningkatkan pemahaman pelajar.
"Pendidikan moral atau nilai murni merupakan subjek yang sangat sukar sebenarnya. Contoh, ucapan terima kasih mudah sahaja diucapkan tetapi berapa ramai ketika ini yang mampu mengucapkannya kepada orang lain? Malah, untuk mendengar ucapan tersebut pun susah.
"Kerana itulah subjek ini tidak boleh diajar dalam bentuk teori semata-mata. Kalau di Jepun, pembelajaran nilai murni diberi penekanan di sekolah sejak umur tujuh tahun lagi melalui perbuatan. Contohnya ada jadual bersihkan tandas, membantu menyediakan makanan untuk rakan, yang mana ini akan mewujudkan jalinan persahabatan ikhlas antara satu sama lain," katanya.
Menerusi persahabatan ikhlas ini, secara tidak langsung mereka belajar menghormati antara satu sama lain dan mempunyai sifat empati dalam diri, sekali gus menjadi benteng pertahanan diri daripada terpengaruh dengan faktor luaran dan menjadi pembuli.
Pensyarah kanan di Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam pula melihat keteguhan empati dalam remaja membolehkan mereka memahami kesusahan dan penderitaan yang ditanggung orang lain, khususnya rakan sebaya.
Perasaan empati membolehkan mereka meletakkan diri dalam situasi orang lain dan ini memangkin tingkah laku prososial seperti tolong-menolong dan saling melindungi rakan daripada ancaman, jelasnya.
"(Selain itu) Rasa serba salah pula mampu mendorong remaja mengakui kesilapan diri, memohon maaf dan berusaha membaiki hubungan dengan rakan sebaya. Bahkan, penyelidikan telah membuktikan rasa serba salah sebagai satu ramuan penting dalam membina hubungan persahabatan yang berkualiti dan positif dengan rakan sebaya," katanya.
KERUGIAN BUAT NEGARA
Hakikatnya, penyelesaian kepada masalah buli yang sudah lama berakar umbi ini memerlukan penglibatan semua pihak, iaitu bukan hanya ibu bapa dan sekolah, tetapi juga masyarakat sekeliling termasuk golongan agamawan.
Bagi Anuar, sekalipun isu buli sukar dihapuskan sepenuhnya, usaha mengurangkan kejadian ke peringkat paling minimum perlu diambil segera bagi memastikan negara tidak lagi kehilangan modal insan berpotensi yang komprehensif.
"Apalah gunanya melahirkan pelajar yang hanya cemerlang separuh sahaja iaitu hanya akademik tetapi tidak pada pembangunan akhlak serta nilai murni?
"Mereka ini bukan hanya berisiko menjadi pembuli kerana kelemahan benteng diri tetapi juga berpotensi terlibat dalam jenayah lain seperti rasuah dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA