Kekurangan murid SJKT di P.Pinang perlu diatasi

Bernama
Oktober 30, 2023 05:00 MYT
Sundarajoo berkata, selain masalah kekurangan murid, infrastruktur dan kemudahan di SJKT perlu dinaik taraf bagi memberikan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif. - Gambar fail/Facebook Dato Seri Sundarajoo Somu
GEORGE TOWN: Kekurangan murid antara isu membelenggu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Pulau Pinang apabila kebanyakan mereka mengikut keluarga berpindah selepas estet ditutup.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S Sundarajoo berkata situasi itu menyebabkan populasi di kawasan berkenaan menurun hingga menjejaskan jumlah kehadiran murid ke sekolah.
Sundarajoo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang berkata sekolah yang mengalami kemerosotan murid perlu dipindahkan ke kawasan mempunyai populasi lebih tinggi supaya pendaftaran murid dapat ditingkatkan sekali gus memartabat semula SJKT sebagai medium pendidikan anak-anak.
"Harapan kita adalah untuk meningkatkan enrolmen murid di SJKT kerana kita tahu sejarah sekolah Tamil ini asalnya bermula dari kawasan estet... apa yang berlaku hari ini tanah (estet) sudah tidak ada, tetapi sekolah masih tertinggal di sana.
"Jadi, bila sekolah ada, guru ada, tapi murid tak ada kerana estet sudah tiada, ini satu daripada masalah besar yang perlu kita tangani kerana sepatutnya sekolah perlu dipindahkan seiring dengan perpindahan penduduk di kawasan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Jawatankuasa Sekolah-sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang bersama Majlis Guru Besar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Guru-guru Tadika Swasta di sini semalam.
Sundarajoo berkata pada masa ini terdapat 28 SJKT di Pulau Pinang dan berharap kerajaan negeri dapat memainkan peranan membantu dalam perolehan tanah supaya sekolah yang mempunyai kekurangan murid dapat dipindahkan ke lokasi lain yang mudah diakses.
"SJKT Bukit Mertajam contohnya, dulu ada lebih 600 murid kini hanya tinggal sekitar 300 kerana mereka tidak mempunyai akses kenderaan berikutan sudah tinggal jauh dari sekolah.
"Justeru, saya berpandangan sudah tiba masa untuk kita cari tanah lain yang lebih sesuai dan pindahkan ke sekolah yang mempunyai populasi murid tinggi dan kita harap kerajaan negeri dapat bantu," katanya.
Beliau berkata selain masalah kekurangan murid, infrastruktur dan kemudahan di SJKT perlu dinaik taraf bagi memberikan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif.
Sundarajoo berkata beliau akan mengemukakan permohonan kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow untuk meningkatkan jumlah peruntukan kepada SJKT sekurang-kurangnya RM2.8 juta berbanding RM2 juta setahun yang diterima ketika ini selain menubuhkan yayasan bagi mengumpul dana untuk pembangunan pendidikan murid India.
-- BERNAMA
#kekurangan murid #S Sundarajoo #estet ditutup #SJKT di Pulau Pinang
;