Kekurangan literasi budaya dikalangan Generasi-Y -- Prof Datuk Dr Shamsul

Astro Awani
Julai 31, 2013 20:49 MYT
Setelah selesai kes ucapan Hari Raya oleh pasangan Alvivi yang menyinggung perasaan rakyat Islam di Malaysia, timbul lagi sebuah video di lama YouTube yang dikatakan menghina agama Islam.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah menggambil tindakan terhadap penyebaran video tersebut yang dimuatnaik oleh Maznah Mohd Yusof, yang juga dikenali sebagai Chetz Yusof.
Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, berpendapat kekurangan literasi budaya merupakan antara faktor utama kejadian sebigini berlaku.
“Literasi budaya sangat rendah dikalangan Generasi-Y. Kebanyakkan mereka hanya mengetahui perkara yang stereotaip dan prejudis. Tiada pendedahan di sekolah mengenai budaya bangsa dan kaum lain,” kata beliau.
Menurut beliau, pendedahan dari peringkat umur awal seperti lima tahun adalah penting dan bukannya bermula dari umur 20 tahun.
“Keseimbangan di antara pendedahan oleh pihak sekolah dan ilmu yang dicari anak muda melalui internet adalah penting kerana kita tidak boleh menyalahkan pihak sekolah semata-mata. Anak muda perlu menilai sendiri ilmu yang diterima oleh internet atau sumber lain.
“Menghormati hubungan dengan kaum lain melalui kefahaman dan budaya lain adalah sangat penting dan ianya perlu di ajar dalam bentuk pengajian Malaysia atau dalam bentuk kursus sivik,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian semasa wawancara bersama Astro AWANI hari ini.
#Chetz Yusof #Dr. Shamsul Amri Baharuddin #hina Islam #SKMM #video #YouTube
;