Kekurangan aset punca pencerobohan sempadan - Panglima TLDM

Harits Asyraf Hasnan
September 23, 2015 09:52 MYT
Abdul Aziz berkata TLDM memerlukan penambahan aset, sekurang-kurangnya enam buah kapal laut lagi untuk menjaga sempadan negara.
Kekurangan aset keselamatan laut menjadi punca berlakunya pencerobohan sempadan negara dan jenayah rentas sempadan.
Perkara itu diakui Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang melihat perlunya penambahan aset sekurang-kurangnya enam buah kapal laut untuk menjaga sempadan negara.
"Mungkin salah satu sebabnya. Kekurangan aset akan membuatkan mana-mana anasir bersemangat memasuki negara kita.
"Mereka mengetahui bahawa kekuatan kita mengawal sempadan negara adalah rendah," katanya pada sidang media Program Hari Media Kementerian Pertahanan dan Angkatan TLDM di KD Sri Gombak di sini pada Selasa.
Bagaimanapun katanya, TLDM sentiasa menggunakan pendekatan holistik menerusi kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan yang turut terlibat secara langsung dalam menjaga sempadan negara.
"Kita akan menggunakan pendekatan holistik, dengan kerjasama pengawasan udara dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mana-mana agensi yang lain.
"Malah, penguatkasaan menggunakan sistem radar juga banyak membantu," katanya.
Mengulas berkenaan fungsi aset pada masa kini, Abdul Aziz berkata kini TLDM mempunyai 44 buah kapal laut di mana lapan operasi dilakukan 24 jam setiap hari.
"Dengan bilangan aset yang tidak mencukupi, ia secara langsung membebankan pelaksanaan tugas TLDM dan kita terpaksa menggunakan konsep 'we do more with less' bermaksud kita perlu menjaga dengan aset-aset yang ada pada tahap optimum secara berterusan," jelas Abdul Aziz.
Justeru, beliau berharap dengan ada penambahan aset, ia mampu meningkatkan kawalan keselamatan sempadan negara sekaligus mengekang anasir luar yang cuba melakukan jenayah rentas sempadan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui APMM turut mengalami masalah sama, iaitu kekurangan aset.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, mengakui jenayah tidak kira masa dan tempat tetapi berpandangan masalah kekurangan aset bukanlah alasan kepada pengawal sempadan negara untuk tidak menunaikan tanggungjawab.
#Abdul Aziz Jaafar #aset #keselamatan laut #pencerobohan #penguatkuasaan #sempadan laut #Tentera Laut Diraja Malaysia #TLDM
;