Kekukuhan Asean suatu keperluan strategik - Hishammuddin

Bernama
November 21, 2014 07:26 MYT
HISHAMMUDDIN: Kesemua 10 negara anggota Asean perlu dan akan sentiasa sepakat tentang beberapa isu pertahanan utama dan tidak akan berpecah dari segi arah tuju.
Malaysia sentiasa tekal dalam memperjuangkan idea bahawa kejayaan dan kekukuhan Asean bukan sahaja penting dari segi ekonomi, tetapi juga merupakan suatu keperluan strategik.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sejak penubuhannya, Malaysia tidak pernah terlibat dengan konflik besar dengan mana-mana negara anggota Asean.
"Kami percaya, Asean yang kukuh mempunyai pengaruh kestabilan di rantau ini. Sebenarnya, kini banyak negara menyedari tentang kepentingan Asean dan mula untuk mendampinginya," kata beliau.
Hishammuddin berkata demikian dalam ucapannya bertajuk "Seni Bina Keselamatan Serantau: Status Semasa dan Prospek" pada Forum Xiangshan Ke-5 anjuran Persatuan Sains Ketenteraan China di Beijing, China Jumaat.
Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama melalui e-mel.
Hishammuddin berkata kesemua 10 negara anggota Asean perlu dan akan sentiasa sepakat tentang beberapa isu pertahanan utama dan tidak akan berpecah dari segi arah tuju.
Katanya kini terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan satu saluran komunikasi jelas antara negara anggota Asean dan "kuasa-kuasa yang ingin berdamping dengan kami".
"Kuasa besar perlu memahami kami secara jujur. Mereka perlu memberi keutamaan kepada keselamatan rantau ini secara menyeluruh, bukan hanya berfikir mengikut garis kedaulatan," katanya.
Hishammuddin berkata memandangkan imbangan wajaran strategik dan ekonomi dunia kini condong ke arah Asia, maka satu seni bina keselamatan serantau yang kukuh dan mampu menampung semua pemegang kepentingan serta hasrat yang semakin berkobar-kobar, perlu diwujudkan untuk menjadikan Asean kuat dan berjaya.
Ini kerana hubungan yang diiringi oleh persaingan strategik dan ketidaktentuan akan meningkatkan risiko berlaku pergeseran dan konflik, yang boleh memberi kesan buruk terhadap ekonomi global, katanya.
Mengenai isu Laut China Selatan, Hishammuddin berkata seperti kebanyakan negara Asia Tenggara lain, beliau juga bimbang mengenainya.
"Retorik berapi-rapi dan perbuatan saling menuduh tidak memberi manfaat kepada mana-mana negara.
"Isu ini memerlukan penyelesaian berlandaskan sikap saling menghormati dan saling mempercayai. Ia akan mengambil banyak masa, namun saya yakin, berkat kesabaran, kebijaksanaan bersama dan keberanian, kita akan berjaya menemui jalan untuk mencapai kemajuan," katanya.
Mengenai forum itu, beliau berkata ia boleh muncul sebagai forum peringkat tertinggi mengenai isu pertahanan dan keselamatan kontemporari.
#ASEAN #Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein #Menteri Pertahanan
;