Kekuatan Melayu dan Islam seperti pemikiran Allahyarham Siddiq perlu dicontohi - Anwar
Fareez Azman
Februari 17, 2022 17:26 MYT
Februari 17, 2022 17:26 MYT
SHAH ALAM: Semua pemimpin termasuk di pihak kerajaan dan juga organisasi seharusnya memperkukuhkan kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini tanpa meminggirkan kepelbagaian budaya dan kaum.
Demikian jelas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil contoh kefahaman Islam yang ditekankan bekas Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Allahyarham Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil.
Ujarnya, jika kefahaman itu dapat diperkukuhkan terutama dalam kalangan golongan muda, beliau percaya warganegara Malaysia yang lebih baik dapat dilahirkan.
"Kekuatan Allahyarham Siddiq menjelaskan untuk mengukuhkan kedudukan Melayu dan semangat Melayu tidak harus meremehkan atau meminggirkan budaya dan pandangan kaum lain.
"Jadi berbeda pula ada orang mengatakan untuk di Malaysia ini..., dia perlekeh Melayu pun banyak juga, ini yang menjadikan masalah sekarang. Tapi saya tidak setuju pandangan begitu, jadi apa yang kita tekankan, saudara Siddiq Fadzil (tekankan), supaya kita berakar kepada bumi Melayu.
"Tapi kita kena terima juga kenyataan kita harus angkat martabat rakyat Malaysia dalam konsep kewarganegaraan rakyat, juga tentang fahaman Islam," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil (Kursi Siddiq Fadzil) di Universiti Selangor (Unisel) di sini hari ini.
Tambah Anwar, pelbagai tafsiran tercetus terhadap Islam membawa kepada wujudnya golongan ekstrem.
"Kenapa tidak dalam fahaman Islam ini, apa yang berlaku seperti sekarang jadi tafsirannya pelbagai, ada yang melampau, macam Taliban dan lain-lain.
"Tapi di sebaliknya golongan elit bandar dan liberal ini pula mengatakan baik sebaik kita faham Islam, ini masalah Islamisasi, jadi dia ada ekstrem.
"Jadi dia baca apa yang dikupas oleh Siddiq, menjadi Muslim yang baik dan orang Melayu yang mengakar di bumi Melayu itu juga menjadikan seorang warganegara Malaysia yang berjaya dan kecintaan kemanusiaan yang mendalam," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, tambah Anwar, selain kefahaman Islam, martabat bahasa Melayu juga seharusnya diangkat oleh semua pihak.
Lebih lagi ujarnya, peranan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
"Banyak kali saya tegur, bahawa tidak ada upaya yang cukup kuat untuk mengangkat martabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
"Bila kita bicara soal bahasa Melayu dianggap kita nak mengenepikan keutamaan bahasa Inggeris, bahasa Inggeris tetap penting tapi tidak boleh kita kekalkan suasana sekarang, di mana kita tidak beri tumpuan dan mengangkatnya (bahasa Melayu).
"Ini peranan KKMM dan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mengangkat kembali kedudukan bahasa dan mesti lebih lantang dan kuat dalam komitmen mereka," jelasnya lagi.