Kekosongan kerusi Parlimen: Kerajaan Perpaduan tak isytihar sebab takut kalah - Muhyiddin

Hasimi Muhamad
Julai 13, 2024 10:50 MYT
Muhyiddin menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Konvensyen Bersatu yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Selayang, hari ini.
SELAYANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang oleh bekas ahli mereka tidak diisytiharkan kosong kerana Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, disebabkan itu Kerajaan Perpaduan didakwa sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Anti Lompat Parti, yang diperjuangkan mereka sendiri.
Beliau juga mendakwa, gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan sedang rosak dan merosakkan sesama sendiri kerana perbezaan asas parti.
"Mereka takut dengan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN yang disandang oleh bekas ahli Bersatu atau pengkhianat yang berpaling tadah walaupun tindakan itu bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.
"... mereka sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan yang mereka sendiri perjuangkan dan gubal kerana mereka takut kalah," kata beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional.
Muhyiddin berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Konvensyen Bersatu yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, hari ini.
Berucap lanjut, Muhyiddin berkata, ahli-ahli parti kerajaan sedang mempertikaikan tindakan pemimpin mereka yang sanggup menggadai prinsip perjuangan parti demi kepentingan peribadi.
Malah, beliau mendakwa, terdapat ahli-ahli parti kerajaan mahu berhijrah kerana tidak sanggup lagi bersekongkol dengan pemimpin yang mengkhianati perjuangan parti.
"Ahli parti mereka sedang mencari wadah baharu yang boleh dipercayai. Antaranya ialah parti kita Bersatu dan kita wajib menyambut mereka dengan hati yang terbuka atas dasar kebersamaan dalam perjuangan," ujarnya lagi.
Pada 10 Julai lalu, Muhyiddin memaklumkan telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang membuat keputusan menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam Ahli Parlimen terbabit dikosongkan.
Sementara pada Khamis lalu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San mengumumkan tiada kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari.
Konvensyen bertemakan 'Mendukung Idealisme, Memperkasa Kesatuan, Membina Kekuatan' turut dihadiri barisan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), pemimpin sayap dan akar umbi di peringkat bahagian.
Agenda konvensyen berkenaan adalah memberi taklimat terkini mengenai peraturan persidangan Bersatu peringkat Cawangan, Bahagian dan Pusat selain melancarkan konsultasi nasional dalaman parti mengenai dokumen 'Idealisme Perjuangan Bersatu' yang menggariskan prinsip dan falsafah perjuangan parti.
#Kerajaan Perpaduan #Muhyiddin Yassin #Kekosongan kerusi Bersatu #Konvensyen Bersatu