Kekerasan melampau, penderaan antara punca tahanan larikan diri dari DISB - EAIC
Bernama
Oktober 16, 2024 15:45 MYT
Oktober 16, 2024 15:45 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati kekerasan melampau dan penderaan yang dilakukan beberapa pegawai Jabatan Imigresen (JIM) terhadap tahanan etnik Rohingya adalah antara punca 131 tahanan meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB), Perak pada 1 Feb lepas.
Ringkasan AI
- EAIC mendapati kekerasan melampau dan penderaan oleh beberapa pegawai Jabatan Imigresen terhadap tahanan etnik Rohingya menjadi punca 131 tahanan melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB), Perak.
- Pegawai Jabatan Imigresen dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia yang bertugas di DISB didapati tidak peka dan gagal mengawal keadaan semasa insiden berlaku.
- Bangunan DISB, bekas kem PLKN, didapati mempunyai kelemahan infrastruktur yang tidak sesuai untuk digunakan sebagai depot tahanan.
EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu adalah antara hasil siasatan yang dijalankan suruhanjaya tersebut berdasarkan aduan yang diterima, mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
EAIC berkata kekerasan serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya terlibat bermula sebelum mereka ditempatkan di DISB lagi, iaitu ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi, Kedah pada 2020 hingga 2021.
Sehubungan itu EAIC memaklumkan pihaknya memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai-pegawai yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM dan membuat laporan polis berhubung isu itu untuk siasatan lanjut.
Selain berlakunya kekerasan dan penderaan, EAIC turut mendapati pengawai JIM dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia yang bertugas di DISB didapati tidak peka terhadap keadaan sekeliling dan pegawai kanan serta penyelia fasiliti itu gagal memantau dan bertindak untuk mengawal keadaan semasa insiden berlaku.
EAIC juga merumuskan bahawa bangunan DISB, yang merupakan bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), mempunyai kelemahan infrastruktur yang tidak memenuhi standard yang diperlukan untuk berfungsi sebagai depot tahanan.
Dalam kejadian pada 9.50 malam 1 Feb lepas, 131 tahanan pendatang asing tanpa izin yang terdiri daripada 115 dari etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh, meloloskan diri dari DISB dengan merusuh dan merosakkan pagar depot.
-- BERNAMA