Kekecohan di KLIA: KDN beri kerjasama seluas-luasnya buat SPRM - Saifuddin

Adie Sufian Zulkefli
Julai 3, 2023 16:18 MYT
Saifuddin bercakap pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-51, pada Isnin. - Foto Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi ruang sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terutama di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata, kementeriannya akan memberi kerjasama seluas-luasnya kepada SPRM untuk agensi berkenaan melengkapkan proses yang diperlukan.
"Sekurang-kurangnya ada tiga perkara di sini iaitu pertamanya, secara spesifik dakwaan mengatakan ada elemen rasuah. (Pendirian kita) dengan terang dan fasih SPRM dipelawa tanpa apa-apa halangan untuk memulakan atau meneruskan siasatan bagi mengesahkan dakwaan tersebut.
"Perkara kedua, merujuk khusus kepada insiden tempoh hari, saya telah berbincang dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Datuk Seri Tiong King Sing). Hasilnya akan kami bawa kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-51, pada Isnin.
Menyentuh mengenai perkara ketiga pula ujar Saifuddin, JIM hanya mengamalkan peraturan Imigresen antarabangsa yang diterima pakai majoriti negara untuk mengawal pintu masuk sempadan kerana ia bukan pemeriksaan biasa sebaliknya melibatkan elemen keselamatan.
"Apabila kita melepasi kaunter Imigresen ada sekurang-kurangnya tiga soalan asas yang mereka akan tanya iaitu di mana tempat tinggal kita, adakah mempunyai dana yang cukup sepanjang tempoh pelawat berada di sesuatu negara dan yang ketiga ada tak tiket pulang.
"Sekiranya pelawat melepasi tiga soalan itu, urusan seterusnya tak ada masalah dan hanya jika ada masalah di peringkat itu barulah proses seterusnya mengambil tempat iaitu Notis Penolakan Masuk (NTL) yang berasaskan kepada komunikasi Imigresen dengan pelawat," katanya lagi.
Bagaimanapun Saifuddin berkata, jumlah pelawat yang dikenakan NTL ke negara ini sangat kecil jika dibandingkan dengan pengunjung yang dibenarkan masuk.
Baru-baru ini, King Sing menyifatkan tindakan beliau dalam insiden seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini di KLIA bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan.
Beliau yang mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk kementeriannya memperluas penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota dan pegawai Imigresen, Saifuddin berkata, tumpuan ketika ini adalah melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.
#kecoh KLIA #Saifuddin Nasution #SPRM #siasat Imigresen
;