Kekecohan di HRPB: Polis buru tiga lagi suspek, termasuk seorang wanita

Abd Razak Mohd Ali
Februari 23, 2022 13:29 MYT
Mior Faridalathrash (kanan) berucap pada sidang media Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di IPK Perak di Ipoh, hari ini. --fotoBERNAMA
IPOH: Polis masih memburu tiga lagi suspek, termasuk seorang wanita, yang dipercayai terlibat dalam kejadian kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini tengah malam Sabtu lalu.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat ini empat individu yang dipercayai terlibat telah ditahan, termasuk seorang suspek yang terbabit dalam pergaduhan dengan ahli keluarga teman wanitanya di Jalan Sekolah di Guntong di sini.
Menurutnya, pihak polis telah mengenal pasti ketiga-tiga lagi suspek berkenaan.
“InsyaAllah dalam masa terdekat ini kita akan tahan mereka dan kita akan tuduh mereka di mahkamah,” katanya selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Ahad lepas, polis dilaporkan sedang mengesan enam lagi lelaki tempatan yang masih bebas selepas menahan seorang suspek berusia 24 tahun di perkarangan tempat letak kereta awam pada pukul 11.50 malam hari kejadian.
Pada Selasa, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya menahan tiga lagi suspek berusia 18 hingga 21 tahun di sekitar Ipoh, antara pukul 7.45 petang dan 11 malam Ahad lepas.
Katanya, dua daripada suspek adalah rakan, manakala seorang lagi dan tangkapan sebelum ini tidak mengenali antara satu sama lain.
Beliau berkata hasil ujian awal saringan air kencing ke atas mereka mendapati kesemua empat suspek positif dadah jenis ganja.
Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
#gaduh #kecoh #HRPB #Mior Faridalathrash Wahid
;