'Kekayaan Melayu di Kampong Baru terbenam dalam tanah ini'

Firdaus Azil
September 21, 2019 15:33 MYT
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun mendengar penerangan daripada Pengarah Arkitek VERITAS Azril Amir Jaafar mengenai model cadangan pembangunan Kampong Baru. - Foto Bernama
Kerajaan beri jaminan akan memberi keutamaan kepada kepentingan Melayu dan Islam, dalam soal pembangunan semula Kampong Baru.
Menteri Wilayah Persekutuan berkata, perkara itu sudah termaktub dalam undang-undang sedia ada di bawah Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011, dan kerajaan tidak akan melanggar perkara itu.
Beliau berkata demikian ekoran wujud dakwaan kerajaan cuba mengorbankan kepentingan kaum berkenaan dalam proses pembangunan kawasan itu, demi keuntungan semata-mata.
“Kekayaan Melayu di Kampong Baru terbenam dalam tanah ini, pemilik sebenarnya, ada kuasa ekonomi tapi selagi mana kuasa ekonomi itu tidak dilepaskan, tidak dibebaskan, maka kuasa ekonomi itu terbenam dalam tanah di Kampong Baru.
“Yang mana sekiranya kita setuju bangunkan bersama, maka akan terhasil kekayaan Melayu dan saya harap, bila dah dapat kekayaan ini jangan pergi joli, dan menghabiskan duit itu,” katanya di ketika menjawab soalan sewaktu sesi Townhall Menteri Wilayah Persekutuan bersama Pemilik dan Pewaris Tanah Kampong Baru, di sini hari ini.
BACA: Pembangunan Kampong Baru peluang orang Melayu kukuhkan ekonomi
Ujarnya lagi, selain memberi peluang untuk orang Melayu Kampong Baru mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka, pembangunan itu juga mempunyai tujuan khusus meningkatkan peratusan orang Melayu di Kuala Lumpur.
“Sekarang ini ada 5,000 penduduk. Bila dah bina 45,000 unit rumah, 50% mampu milik, saya yakin yang mana orang Kampong Baru ada tiga empat nama geran, boleh kekal (tinggal di situ). Tapi dalam suasana yang lebih baharu dan tersusun.
“Saya ingin tegaskan, tanah ini dilindungi Akta 733. Andaian tanah orang Melayu tergadai tidak benar. Akta ini jelaskan bahawa Perbadanan Kampong Bharu hendaklah melindungi, memelihara dan memulihara. Jadi apa apa jua pembangunan, prinsipnya pemilikan tetap orang Melayu,” katanya lagi.
#Akta 733 #ekonomi #Islam #Kampong Baru #kerajaan #Khalid Samad #Melayu #pembangunan #undang-undang
;