Kekangan bahasa masih jadi isu harian di agensi kerajaan

Bernama
Januari 5, 2024 10:35 MYT
Bagi mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu, Hazami menggesa kerajaan memperkasa penggunaan bahasa itu di semua sektor, bukan hanya di sektor awam. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Arahan agar semua surat rasmi, baik sesama agensi kerajaan atau daripada pihak swasta kepada kerajaan, ditulis dalam bahasa Melayu, adalah antara usaha kerajaan MADANI meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat.
Pelaksanaan dasar itu tidak menghairankan kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya dikenali sebagai tokoh yang sentiasa berusaha mengangkat martabat bahasa Melayu sejak dahulu lagi.
Namun, satu insiden tular melibatkan seorang wanita yang mendakwa dirinya diherdik oleh pegawai imigresen kerana tidak fasih berbahasa Melayu ketika berurusan di kaunter jabatan itu di Johor baru-baru ini, menyerlahkan satu isu yang tidak berpenghujung.
Terpanggil untuk melihat sisi itu dengan lebih mendalam, Bernama melakukan pemerhatian di beberapa agensi kerajaan yang berurusan dengan orang awam baru-baru ini, dan mendapati masalah penguasaan bahasa Melayu adalah isu sah yang bukan digembar-gemburkan.
Malah, Bernama difahamkan kekangan bahasa adalah antara isu harian yang didepani oleh petugas di agensi berkenaan saban hari, hinggakan ada kes memerlukan bantuan pihak ketiga sebagai "penterjemah".
Selain itu, penggunaan bahasa Inggeris dalam surat-menyurat juga masih berleluasa sekalipun ahli masyarakat maklum tentang arahan kerajaan MADANI agar segala warkah rasmi dilakukan dalam bahasa Melayu.
"Tetapi, demi kemudahan semua pihak, kami tetap melayan (surat dan e-mel) mereka," kata seorang pegawai di agensi berkenaan ketika ditanya oleh Bernama yang mencari pengesahan.
MALU GUNA BAHASA KEBANGSAAN?
Ketika dilontarkan isu itu, Felow Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Zaini Othman menggariskan "kurang rasa cinta" dan "semangat kekitaan" sebagai antara faktor utama masalah kemahiran berbahasa Melayu masih wujud, khususnya dalam kalangan bukan penutur asal.
Tegas beliau, sebagai sebuah negara yang sudah merdeka hampir 67 tahun dengan Perlembagaan Persekutuan jelas memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi Perkara 152 Fasal (1) , isu penguasaan bahasa Melayu sepatutnya sudah tidak timbul.
"Perkara ini ada kaitan dengan pewujudan sebuah negara bangsa, dan identiti negara bangsa yang dimaksudkan ini bukan sekadar simbol atau retorik, sebaliknya adalah elemen teras yang 'mengecap' (mengiktiraf) seseorang individu untuk menjadi warga sesebuah negara," jelas beliau.
Walaupun Perkara 152 tidak menghalang penggunaan bahasa-bahasa lain, hal itu tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk mengetepikan penguasaan bahasa Melayu.
Menurut Zaini, berdasarkan pemerhatian beliau, bukan penutur asal bahasa Melayu tidak mempunyai masalah dari segi penulisan seperti yang dilihat daripada keputusan peperiksaan utama persekolahan.
"Kita dapati ramai sahaja anak bukan bumiputera yang lulus dengan cemerlang bagi ujian penulisan bahasa Melayu.
"Ini amat menyedihkan, kerana kita terlalu menumpukan pada pencapaian akademik semata-mata, walhal semua ini hanyalah bersifat kosmetik dan sekadar cantik di atas kertas," ujar beliau.
Zaini bagaimanapun tidak menyangkal ada ahli masyarakat termasuk orang Melayu sendiri, keberatan untuk menggunakan bahasa ibunda mereka dalam pergaulan kerana menganggap bahasa Melayu "tidak ada kelas".
"Tidakkah mereka tahu bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu sangat gah di mata dunia sebagai satu lingua franca dan bahasa perdagangan antarabangsa? Lebih membanggakan, ada banyak perkataan bahasa Melayu yang dipinjam oleh bahasa lain. Contohnya perkataan amok (amuk), paddy (padi), bamboo (bambu) dan banyak lagi dalam bahasa Inggeris, menunjukkan betapa kayanya kosa kata bahasa kita.
"Yang menghairankan, mengapa kita boleh mempelajari bahasa orang lain apabila melancong atau ziarah negara luar, namun tidak ingin menggunakan bahasa kita apabila berada di negara sendiri? Sepatutnya kita bangga mengguna pakai bahasa sendiri kerana 'bahasa itu melambangkan jiwa bangsa'," lontar beliau.
Beliau juga menyifatkan rakyat Malaysia yang berasa malu atau kurang yakin untuk menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan harian sebagai "satu tragedi kepada kehidupan bernegara dan bermasyarakat di negara ini."
"Oleh itu perlulah ada satu revolusi mental berkenaan pemartabatan bahasa Melayu ini oleh semua pihak," katanya yang turut berharap inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan sekarang tidak bersifat hangat-hangat tahi ayam.
TEMBOK HALIMUNAN
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari yang bersetuju bahawa ada rakyat Malaysia berasa dangkal (keras hati) dan malu untuk berbahasa Melayu dalam pertuturan harian atau dalam persekitaran formal, berpendapat faktor pergaulan sosial sebagai antara dalang.
Katanya, berdasarkan pemerhatian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku badan bertanggungjawab menyelaras penggunaan bahasa Melayu dan kesusasteraan di negara ini, bagaikan ada tembok halimunan yang membataskan pergaulan sosial antara kaum, baik di tempat kerja ataupun di sekolah.
"Jasad mereka di satu kawasan yang sama, tetapi seolah-olah ada dinding yang menghalang interaksi sosial itu," katanya dalam temu ramah dengan Bernama.
Hal itu kata beliau, mengehadkan penggunaan bahasa Melayu kepada hanya penutur asal, sementara yang lain pula berinteraksi menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
"Selain itu, jurang hubungan sosial ini juga disebabkan oleh faktor fizikal. Contohnya, jika seseorang pekerja tersebut hanya bertutur bahasa Melayu ketika di pejabat, apabila pulang ke rumah dia tidak lagi mengamalkannya. Apatah lagi jika dalam lingkungan kawasan kediamannya itu tidak ramai penduduk berbangsa Melayu," ujar beliau.
Justeru, beliau mengesyorkan agar penggunaan bahasa Melayu diterapkan di peringkat awal persekolahan, khususnya di sekolah jenis kebangsaan.
"Kalau kita tengok di sekolah vernakular ini, bahasa Melayu hanya digunakan semasa sesi pembelajaran pengukuhan bahasa Melayu. Selain daripada itu tidak ada. Alangkah bagusnya kalau pihak sekolah dapat menimbang penggunaan bahasa Melayu untuk pembelajaran subjek teras yang lain juga seperti Sejarah," ulas beliau.
Hazami percaya jika kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Melayu diperkukuhkan sejak usia muda, tidak mustahil negara dapat melahirkan generasi yang berbangga dengan bahasa kebangsaan pada masa akan datang.
"Seperkara lagi yang menjadi halangan kepada pembudayaan bahasa Melayu dalam kalangan warga bukan bumiputera adalah sikap dan ketidakyakinan mereka untuk menggunakan bahasa itu. Ada juga yang menganggap bahasa Melayu tidak sesuai digunakan dalam urusan perniagaan dan perdagangan.
"Akan tetapi, kebanyakan negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan China, mereka berani menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa perdagangan, (dan) tiada masalah untuk mereka menjadi jaguh ekonomi," katanya.
Tambah beliau, usaha meningkatkan nilai ekonomi sesebuah bahasa itu bergantung pada kekuatan iltizam rakyat negara tersebut untuk mengangkat bahasa kebangsaan mereka menjadi bahasa ekonomi.
"Sebenarnya, jika kita menganggap diri kita warganegara yang sejati, isu bangsa tidak seharusnya menjadi halangan untuk kita terus berkomunikasi dalam bahasa Melayu walaupun sesama bangsa sendiri. Inilah yang kita panggil semangat patriotik yang tinggi dan sikap ini perlu terus dipupuk sedari usia muda lagi," ujar beliau.
MANFAATKAN SEMUA WADAH
Bagi mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu, Hazami menggesa kerajaan memperkasa penggunaan bahasa itu di semua sektor, bukan hanya di sektor awam.
"Media massa juga perlu memainkan peranan, mengajak rakyat kembali mencintai dan mendaulatkan bahasa Melayu. Contohnya, radio dan televisyen boleh melaksanakan kempen cintai bahasa Melayu serta menggunakan bahasa yang betul dalam program mereka.
"Namun apa yang menyedihkan ialah masih ada program-program, termasuk drama dan filem zaman kini, yang merancukan bahasa Melayu ini seolah-olah tidak peka untuk menggunakan bahasa yang baik. Ini sebenarnya satu tindakan yang salah dan perlu diperbetulkan segera," katanya.
Di pihak DBP, beliau berkata organisasi itu telah mewujudkan Akademi DBP bagi merangka strategi dan kaedah pelaksanaan program pendidikan sepanjang hayat, khususnya dalam pengajaran bahasa Melayu, sastera dan penerbitan.
Oleh itu, menerusi kursus peningkatan yang diadakan, DBP dapat menambah baik penguasaan bahasa dalam khalayak atau peserta secara khusus, katanya.
Selain itu, JendelaDBP yang boleh diakses oleh rakyat di 147 buah negara, merupakan antara usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu serta menyebarluaskan perkhidmatan DBP secara percuma, selain daripada Pusat Rujukan Persuratan Melayu, buku-buku terbitan DBP dan majalah digital yang merangkumi 11 majalah terbitan DBP.
Sementara itu, Zaini pula mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih tegas dalam pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dengan memastikan hanya bahasa Melayu digunakan bagi setiap papan tanda dan papan iklan.
"PBT seharusnya menjadi badan berwibawa dan 'tangan kanan' pihak kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu daripada dicabuli dan dirancu, terutama oleh syarikat perniagaan menerusi iklan mereka," tegas beliau.
MOTIVASIKAN DIRI SENDIRI
Diakui, ada bukan penutur asal yang begitu fasih berbahasa Melayu, termasuklah daripada golongan profesional. Malah, ada antara mereka yang bertegas untuk berbahasa Melayu dalam perbualan harian.
Ketua Sosial, Perundangan dan Hak Asasi Manusia EMIR Research Jason Loh Seong Wei misalnya, berkata beliau bangga dapat menguasai bahasa itu dengan baik.
"Walaupun saya berbangsa Cina, saya memang gemar bertutur dalam bahasa Melayu tetapi tidak sefasih Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang terkenal dengan kehandalannya mengungkapkan pantun yang berunsurkan Nusantara.
"Bagi saya, bahasa Melayu adalah satu bentuk kesenian yang membolehkan pengungkapan dizahirkan atau diserlahkan secara bebas tanpa kongkongan, disebabkan oleh ciri-ciri bahasa itu yang terbuka kepada pengaruh luaran (seperti bahasa Arab dan bahasa Inggeris) dan lunak," ujarnya.
Beliau juga menyangkal tanggapan bahawa bahasa Melayu sukar untuk dipelajari.
"Ada yang menyatakan bahasa Melayu sukar untuk dikuasai. Bagi saya ini tidak benar. Sebaliknya, bahasa Melayu cukup mudah dipelajari dan diamalkan terutama secara lisan sebagai bahasa pengantara urusan seharian," ujarnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman hilang kefasihan berbahasa Melayu - pertuturan dan penulisan - selepas kembali daripada melanjutkan pengajian di United Kingdom pada 2003.
"Pada awalnya saya sangat sedih, namun saya tetap motivasikan diri sendiri demi memahirkan kembali diri berbahasa Melayu. Tugas yang dipikul dan panggilan kehidupan profesional saya sebagai seorang penyelidik di sebuah badan pemikir, membuatkan penguasaan bahasa Melayu saya jauh lebih berkembang dari segi penambahbaikan dan pemulihan.
"Saya juga bersemangat dan beria-ia untuk bertutur dalam bahasa Melayu apabila ada peluang ditemu bual ataupun menghadiri urusan rasmi, supaya saya dapat mempraktikkan penzahiran dan artikulasi bahasa Melayu apabila membicarakan tentang dasar, khususnya yang melibatkan masyarakat Melayu," katanya.
Tambah beliau lagi, kemampuannya mengupas permasalahan dan juga dasar dalam bahasa Melayu membantu beliau menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada golongan sasaran, yang secara langsung memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat Malaysia.
-- BERNAMA
#rakyat Malaysia #bahasa kebangsaan #Bahasa Melayu #DBP
;