Kekalkan Rukun Negara sebagai prinsip, bukan dokumen undang-undang - Peguam

Cynthia Ng
Januari 23, 2017 00:02 MYT
Masalah penjiwaan rendah terhadap Rukun Negara di kalangan rakyat Malaysia tidak akan diselesaikan dengan menjadikan lima prinsip-prinsip tersebut sebagai mukadimah dalam Perlembagaan Persekutuan
Aktivis dan peguam, Syahredzan Johan berkata baginya, kesedaran terhadap Rukun Negara secara umumnya masih berkurangan ketika ini.
"Masalah adalah orang tidak tahu atau tidak sedar tentang Rukun Negara tidak akan diselesaikan dengan menjadikannya sebahagian daripada Perlembagaan. Kalau kita tengok, kesedaran terhadap perlembagaan itu sendiri pun rendah, bukan sahaja di kalanganrakyat tetapi di kalangan pemimpin juga."
"Jadi masalah di sini bukan sama ada ia patut dijadikan sebagai perlembagaan, masalahnya ialah kesedaran itu tidak ada," katanya ketika mengulas inisiatif sekumpulan individu yang terdiri daripada ahli akademik, peguam dan aktivis untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Syahredzan berkata sebarang inisiatif bertujukan matlamat tersebut sepatutnya digerakkan pihak kerajaan.
"Sekiranya ia perlukan pindaan perlembagaan, saya berpendapat ianya perlu datang dari kerajaan. Jika ianya jadi rang undang-undang persendirian, saya fikir ia tidak akan dibentangkan langsung.
"Apa yang diperlukan ialah sokongan dan persetujuan dua pertiga ahli parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini termaktub dalam perlembagaaan persekutuan dan kerana apa yang dicadangkan adalah untuk jadikan ia satu mukadimah, maka perlunya pindaan perlembagaan," jelasnya.
Tambahnya, Rukun Negara sepatutnya mencerminkan aspirasi rakyat dan harus mempunyai fleksibiliti untuk diubah mengikut kesesuaian dan keperluan negara.
"Perlembagaan itu adalah dokumen undang-undang dan ianya rigid atau sukar diolah. Rukun Negara sewajarnya mencerminkan aspirasi kita dan ia patut boleh diubah mengikut peredaran zaman.
"Jadi, kalau kita rasa ada bahagian yang tak releven lagi, kita boleh ubah. Kalau jadi undang-undang, sukar untuk lakukan demikian," katanya
#Perlembagaan #Rukun Negara #Syahredzan Johan
;