Kekalkan kemerdekaan negara yang dinikmati sejak 63 tahun lalu - PM
Khairunnisa Kasnoon
Ogos 30, 2020 21:10 MYT
Ogos 30, 2020 21:10 MYT
Rakyat Malaysia diseru supaya mengekalkan kemerdekaan negara yang telah dinikmati sejak 63 tahun lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, perisytiharan pada 31 Ogos 1957 lalu telah membuka lembaran baharu kepada tanah air sebagai sebuah negara yang merdeka, bebas dan berdaulat selepas dijajah selama ratusan tahun.
Tegasnya, kemerdekaan adalah satu nikmat besar kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Sepertimana yang disebut oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam pemasyhuran kemerdekaan di sini 63 tahun yang lalu, negara kita ini hendaklah kekal merdeka dan berdaulat, dan seluruh rakyatnya aman,
sejahtera dan sentosa selama-lamanya," kata Muhyiddin ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Kebangsaan yang ke-63 pada Ahad.
Justeru, ujar beliau, ia merupakan amanah besar yang harus dipikul oleh dirinya dan semua rajyat Malaysia.
"Kita mesti kekalkan kemerdekaan negara kita. Kita mesti pertahankan kedaulatan negara kita. Kita mesti pelihara keamanan negara kita. Kita mesti tegakkan keadilan dan pelihara kebebasan rakyat.
"Kita mesti pastikan seluruh warga tanah air tercinta ini sejahtera dan sentosa selama-lamanya”, kata Perdana Menteri lagi.