Kekalkan keindahan, kecantikan Bukit Fraser - Sultan Pahang

Bernama
September 5, 2024 18:25 MYT
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli meluangkan masa beriadah dengan berjalan kaki di sekitar Bukit Fraser pagi ini. -- fotoBERNAMA
RAUB: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah supaya destinasi pelancongan popular Bukit Fraser, dikekalkan keindahan dan kecantikan alam semula jadinya.

Ringkasan AI
  • Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menekankan pentingnya mengekalkan keindahan dan kecantikan alam semula jadi Bukit Fraser, termasuk menjaga kebersihan untuk keselesaan pengunjung.
  • Baginda menekankan bahawa seni bina bangunan sedia ada perlu dijaga dan dipelihara, serta kemudahan seperti denai dan air terjun perlu diperbaiki tanpa membawa elemen baharu yang tidak perlu.
  • Sultan Abdullah menekankan perlunya kawalan terhadap jumlah kenderaan yang naik ke Bukit Fraser untuk mengelakkan kesesakan seperti di Cameron Highlands, serta mencegah penerokaan haram dengan pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.

Baginda bertitah aspek kebersihan juga perlu diberi tumpuan, bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung selain seni bina bangunan sedia ada perlu dijaga dan dipelihara sentiasa.
Al-Sultan Abdullah bertitah keluasan Bukit Fraser tidak begitu besar berbanding lokasi peranginan lain seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands di Pahang, justeru tumpuan perlu diberikan untuk mengekalkan tarikan sedia ada.
"Saya ingat kalau terlebih promosi pun mungkin akan menyusahkan orang di sini, daripada aspek lalu lintas kebersihan atau kekotoran. Kita nak jadikan Bukit Fraser ini satu destinasi yang patuh alam sekitar yang pentingkan aspek kebersihan.
"Kita nak kekalkan kecantikan bangunan-bangunan lama, selain keindahan dan kemudahan sedia ada seperti denai dan air terjun perlu diperbaiki semula, tumpu apa yang ada sekarang tak perlu bawa benda-benda baharu... apa yang perlu dibersihkan dan kemaskan elokkan semula," titah baginda.
Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Wyndham Garden Shahzan Fraser's Hill di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man.
Mengulas mengenai infrastruktur di destinasi pelancongan itu, baginda bertitah jalan raya sedia ada perlu dijaga dengan baik kerana ia merupakan satu-satunya laluan ke kawasan berkenaan.
"Nak kawal juga kenderaan yang naik, kita tak mahu masalah di Cameron Highlands (kesesakan) berlaku di sini, tak mahu ada penerokaan haram, kalau boleh pihak berkuasa kena jaga semua dan pantau dari semasa ke semasa," titah Al-Sultan Abdullah.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Bukit Fraser #Sultan Pahang #destinasi pelancongan popular
;