Kekal usia bersara 60 tahun buka peluang kepada generasi muda - GPMS

Hilal Azmi
Oktober 13, 2016 18:46 MYT
Keputusan kerajaan mengekalkan had usia persaraan tidak melebihi 60 tahun membuka lebih banyak peluang untuk generasi muda bekerja dalam sektor awam. -Gambar fail
Keputusan kerajaan mengekalkan had usia persaraan tidak melebihi 60 tahun membuka lebih banyak peluang untuk generasi muda bekerja dalam sektor awam.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa berkata keputusan itu melegakan generasi muda selain memberi impak positif kepada golongan itu untuk membuktikan kebolehan dalam kerjaya.
"Keputusan untuk mengekalkan had umur persaraan itu amat melegakan dan memberi peluang kepada generasi muda untuk bekerja di sektor awam.
"Kami juga cadangkan agar pekerja di sektor awam boleh membuat pilihan untuk bersara awal," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Sebelum ini, GPMS antara yang paling lantang menolak cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar kerajaan mempertimbangkan untuk meningkatkan usia persaraan penjawat awam dari 60 tahun ke 62 tahun.
Menurut mereka, peluang golongan muda untuk mendapat pekerjaan akan menjadi semakin berkurangan disebabkan tiadanya kekosongan dalam sektor awam.
#bersara 60 tahun #generasi muda #GPMS #usia persaraan #Zambri Mohd Isa
;