Kekal unggul, saluran radio Astro pilihan nombor 1 rakyat Malaysia - Kajian RAM
Astro Awani
Julai 4, 2023 16:54 MYT
Julai 4, 2023 16:54 MYT
SALURAN Astro Radio terus mengekalkan kedudukan sebagai pilihan utama pendengar dalam semua jenama komersial bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina serta Tamil.
Kajian Radio Audience Measurement (RAM) pertama yang dijalankan bagi tahun 2023 menunjukkan saluran-saluran Astro Radio mencapai 16.3 juta pendengar setiap minggu, dengan 76 peratus pendengar di Semenanjung Malaysia.
Bagi jenama Bahasa Melayu, empat saluran Astro Radio mengungguli carta 11 jenama paling popular, di mana stesen ERA mendahului carta dengan 5.68 juta pendengar.
Ia diikuti oleh stesen Sinar dengan 5.05 juta pendengar, Gegar di tempat kelima dengan 1.93 juta pendengar, manakala Zayan di kedudukan kesembilan dengan 385,000 pendengar.
Manakala bagi jenama Bahasa Inggeris, Hitz FM mengungguli carta dengan dengan 2.42 juta pendengar diikuti oleh Mix FM di kedudukan ketiga dengan lebih sejuta pendengar, sementara Lite FM di tempat keempat dengan 797,000 pendengar.
Stesen MY pula berada di kedudukan teratas bagi jenama Bahasa Cina dengan 2.85 juta pendengar, stesen MELODY di tangga ketiga dengan 1.01 juta pendengar, manakala stesen GOXUAN memberi saingan hebat pada kedudukan keempat dengan 298,000 pendengar.
Stesen RAAGA yang dilancarkan sejak 2005 terus mendominasi carta sebagai jenama radio Tamil nombor satu negara dengan lebih 1.67 juta pendengar.
Secara keseluruhan, saluran Astro Radio menguasai 69.3 peratus pendengar Bahasa Melayu, 87.1 peratus bagi pendengar Bahasa Inggeris, 73.2 peratus pendengar Bahasa Cina serta 90.9 peratus pendengar Bahasa Tamil.
Sementara itu, Radio Komersial Malaysia (CRM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya hanya mengiktiraf penyelidik, GfK Technologies sebagai rakan kajian selama tiga tahun (2022-2024) bagi penilaian RAM untuk Semenanjung Malaysia.
Selain RAM, GfK turut menjalankan Radio Insights untuk memahami trend pendengaran radio semasa perayaan atau cuti.
"Laporan pertama yang merangkumi Kuching, Kota Kinabalu, Miri, dan Sandakan telah dikeluarkan pada 20 Jun 2022. GfK terus melancarkan penyelidikan tambahan dan pelengkap untuk manfaat industri," jelas kenyataan itu.