Kekal tenang, tunggu keputusan YDP Agong - DAP
Azyyati Ahmad
November 22, 2022 12:44 MYT
November 22, 2022 12:44 MYT
KUALA LUMPUR: DAP menyeru semua pihak untuk kekal tenang dan bersabar menunggu keputusan muktamad daripada Yang di-Pertuan Agong ketika proses pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15 masih berjalan.
Menurut kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, DAP menyeru semua pihak dan mengarahkan semua ahli-ahli DAP supaya sentiasa menjaga keharmonian dan ketenteraman awam sepanjang masa.
Kata Loke, DAP akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara dan mempertahankan keluhuran perlembagaan Malaysia.
Tegasnya lagi, proses yang sedang berjalan ini adalah sesuatu yang baharu untuk negara, namun ia adalah suatu proses biasa yang perlu dilalui dalam sistem demokrasi berparlimen ala Westminster dalam keadaan di mana tidak ada satu parti atau gabungan memenangi kerusi majoriti di Dewan Rakyat.
Sekali lagi, Loke menekankan bahawa keamanan dan kedamaian dalam kalangan masyarakat harus dipelihara dalam meraikan proses demokrasi subur di Malaysia.
Pada Isnin, Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, pendirian DAP adalah sejajar dengan kepimpinan tertinggi PH.