Kekal rekod bersih, pelabur akan datang berduyun - Tun Mahathir
Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 9, 2018 23:24 MYT
Disember 9, 2018 23:24 MYT
Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan keempat-empat anggota komponen Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah agar terus mengamalkan politik bersih sekiranya ingin menang pada pilihan raya umum akan datang.
Jelasnya para pemimpin termasuk ahli-ahli parti terlibat perlu mengelakkan amalan yang dilarang, termasuk mengambil upah atau habuan daripada sesiapa pun.
Selain itu, Dr Mahathir menyeru agar semua kepimpinan untuk terus berjuang membela rakyat yang sebelum ini ditipu oleh kerajaan terdahulu.
Malah dengan komitmen yang ditunjukkan kerajaan ketika ini selain mengamalkan rekod bebas rasuah akan meningkatkan lagi keyakinan negara luar terhadap Malaysia.
Ini termasuk komitmen yang diberikan oleh kerajaan ketika untuk membela rakyat serta strategi memulihkan negara.
“Dunia iktiraf bahawa di bawah kerajaan Pakatan Harapan ini negara kita sudah pulih semula. Sebab itu ramai yang datang berduyun-duyun untuk melabur di Malaysia. Ramai yang memberi kepercayaan terhadap pemerintahan Pakatan Harapan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Pakatan Harapan 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.
Menurut Perdana Menteri lagi, budaya 'wang adalah raja' atau 'cash is king' tiada dalam amalan PH.
Malah siapa sahaja yang mengamalkannya akan berdepan dengan tindakan undang-undang.
#Bersih
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#menteri
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#politik
#rakyat
#undang-undang