Keputusan kerajaan untuk mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan RON97 serta diesel bagi Mei 2015 disifatkan bukan untuk meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh pada 5 dan 7 Mei ini.

Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkata, semua pihak harus harus faham keputusan itu merupakan bukti kerajaan melihat kemampuan rakyat dan tidak sesuka hati menaikkan harga minyak.

"Ini jadi keutamaan, kita lihat kemampuan rakyat dan tidak suka-suka menaikkan atau menurunkan harga minyak.

"Sepatutnya pembangkang faham dengan isu ini, ia tidak ada kena mengena dengan faktor mengumpan pengundi pada PRK Permatang Pauh mahupun Rompin. Pembangkang di negara ini sering menimbulkan masalah, " katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Khamis, jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga runcit petrol RON95 dan RON97 serta diesel bagi Mei 2015 akan kekal pada paras semasa.

Harga itu tidak berubah bagi bulan ketiga berturut-turut, dengan petrol RON95 kekal pada RM1.95 seliter, RON97 pada RM2.25 seliter dan diesel pada RM1.95 seliter.

BACA: Ikut kata Tun M kalau mahu harga minyak kekal - Tian Chua

BACA:
Harga minyak kekal tidak berubah bagi Mei

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, pengekalan harga itu disifatkan sementara sebelum naik semula pada bulan-bulan mendatang.

Tegasnya, tindakan jangka pendek kerajaan itu dilihat untuk membendung kemarahan rakyat dalam isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan 1 April lepas.

Dalam pada itu kata Bung Mokhtar, isu GST merupakan cukai baharu yang diperkenalkan di negara ini.

"Ia sistem baharu dan pastinya pelaksananannya menghadapi sedikit kesukaran pada awal tahap sebelum difahami sepenuhnya rakyat dalam sedikit masa lagi," jelasnya.

Beberapa blog dan portal menyatakan punca pengekalan harga minyak adalah disebabkan dua PRK pada Mei.

Bung Mokhtar dalam pada itu menegaskan, faktor itu dilihat tidak logik dan usaha mengelirukan rakyat.

"Apa kesan kepada Barisan Nasional dan dua PRK jika harga naik atau turun? Ia tidak mengubah apa-apa keputusan dalam pentadbiran kerajaan," jelasnya.