Kekal dasar luar: Malaysia-Indonesia pertingkat hubungan

Harits Asyraf Hasnan
Jun 29, 2018 13:20 MYT
Tun Mahathir berkata demikian dalam sesi kenyataan media bersama selepas pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Presiden di Bogor, di sini hari ini. - Foto Astro AWANI
Malaysia dan Indonesia akan terus meningkatkan hubungan dua hala bagi memastikan manfaat bersama terus dikecapi kedua-dua buah negara.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerjasama itu bukan sahaja melibatkan hubungan antara negara, malah turut melibatkan politik dan ekonomi.
“Saya harap persahabatan diantara kita ini dapat ditingkatkan dan dikekalkan kerana ada banyak manfaat yang boleh didapati apabila Indonesia dan Malaysia bekerjasama dalam semua bidang termasuk politik, ekonomi dan juga hubungan antarabangsa,” kata Tun Mahathir di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sesi kenyataan media bersama selepas pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Presiden di Bogor, di sini hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Malaysia Baharu yang diberi mandat rakyat pada 9 Mei lalu sedang berusaha memulihkan ekonomi negara selain akan meneruskan dasar luar sedia.
“Kita di Malaysia ini bukanlah cekap sangat tetapi entah macam mana kita dapat kemenangan dan tiada masalah yang menyusul kemenangan itu.
“Hari ini kita sibuk untuk memulih semula negara kita. InsyaAllah, kita akan teruskan dasar-dasar terutama dasar luar negeri yang mana yang diutamakan adalah persahabatan dengan negara jiran, Indonesia,” ujarnya mengakhiri sesi tersebut.
Beberapa isu disentuh oleh beliau termasuk dari segi pendidikan, sekatan minyak kelapa sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) dan kerjasama teknologi pembuatan automotif.
#berita Malaysia #Berita Terkini #ekonomi #EU #Indonesia #Istana Bogor #Joko Widodo #kerajaan #Kesatuan Eropah #Mahathir Mohamad #Malaysia #pendidikan #Perdana Menteri #politik #presiden
;