'Kekal Akta Hasutan, bukti suara majoriti rakyat didengari'

Astro Awani
November 27, 2014 14:45 MYT
Gerakan Malaysia Mempertahankan Akta Hasutan 1948 menyifatkan pengumuman Presiden UMNO bukti suara majoriti rakyat didengari.
Gerakan Malaysia Mempertahankan Akta Hasutan 1948 menyifatkan pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan Akta Hasutan sebagai bukti suara majoriti rakyat didengari.

Fasilitatornya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman berkenaan dengan penuh rasa syukur dan lapang hati.

"‎Ini menunjukkan Najib adalah seorang yang mendengar suara rakyat majoriti yang mahu Akta Hasutan dikekalkan.

"‎Pengumuman berkenaan juga dihargai oleh seluruh rakyat yang telah terlibat dalam siri jelajah yang telah kami adakan di seluruh negara," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Khairul mengulas pengumuman Najib untuk mengekal dan menambah baik Akta Hasutan semasa ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sebelum ini, Gerakan Malaysia Mempertahankan Akta Hasutan 1948 bersaing dengan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) di seluruh negara untuk merebut sokongan rakyat.

Mohd Khairul sebelum ini turut menyatakan rasa hairan kerana melihat kempen mansuh Akta Hasutan yang dianggotai Badan Peguam tidak berjalan secara agresif seperti modus operandi mereka ketika mendesak pemansuhan ISA sebelum ini.

Dalam pada itu katanya, pengumuman itu bukan bermaksud Perdana Menteri tidak menepati janji tetapi realiti semasa menuntut Akta Hasutan dikekalkan.

"Ia diserta dengan penambahbaikan. Itu lebih kuat mesejnya berbanding usul untuk memansuhkan akta berkenaan.

"Semoga penambahbaikan Akta Hasutan nanti akan menjadikan negara kita lebih selamat dan aman dari elemen hasutan," jelasnya.

Dalam pada itu, Khairul Azam turut memberitahu, keputusan Najib itu membuktikan suara kumpulan yang mahu Akta Hasutan itu dimansuhkan tidak mewakili suara majoriti rakyat.

#akta #hasutan #kekal #khairul azam #majoriti #mansuh
;