Kek Durian, Inovasi 'Raja Buah'

Nabihah Hamid
Februari 15, 2015 18:32 MYT
Gino Durian Cake dari The Lovely Oven - Foto Nasir Chin
Durian terkenal sebagai gelaran raja buah yang sinonim di Rantau Asia terutamanya di Malaysia. Rasanya yang enak dan aromanya yang unik menjadi kegemaran ramai. Durian memiliki bau yang kuat serta mempunyai kulit yang berduri turut jadi tarikan pelancong.
Selain makan begitu sahaja, durian turut dibuat tempoyak, pengat dan bubur. Antara resepi dan ciptaan terbaru yang pernah popular dan mendapat permintaan pasaran adalah Durian Crepe.
Namun berbeza bagi pengasas 'The Lovely Oven', Nasir Chin yang menginovasikan durian menjadi kek.
Menurut Nasir, resepi tiga generasi tersebut diteruskan bersama isterinya Norain Abd Baser dengan menamakannya sebagai 'Gino Durian Cake' untuk menambahkan pendapatan sampingan buat mereka.
"Gino Durian Cake ini resepi nenek moyang saya dan kami teruskan menjualnya. Alhamdulillah semakin hari semakin mendapat sambutan," katanya kepada wartawan.
Bagi Norain, bukan mudah untuk memberi nafas baru kepada produk yang diperbuat daripada durian. Ia lebih-lebih lagi, kedatangan Raja Buah yang bermusim.
Malah katanya, penerimaan terhadap inovasi kek durian turut mengambil masa.
"Setahun juga kami mengembangkan resepi Gino Durian Cake ini, tapi kini ia semakin dapat tempat. Kami juga sudah buat logo sendiri dan daftar syarikat," kata Ain sambil memberitahu kaedah jualan dibuat melalui kenalan dan juga laman media sosial.
Pastinya antara cabaran dalam produk mereka ialah durian itu sendiri. Namun mereka telah mengenalpasti untuk mendapat bekalan durian dengan membeli durian dingin beku. Mereka juga turut membuatnya sendiri untuk memastikan stok durian berterusan.
"Pada mulanya kami sukar dapat bekalab tapi akhirnya kami mendapat idea menggunakan durian sejuk beku. Kami juga boleh bekukan durian itu sendiri," kata Nasir lagi.
"Kami ada pembekal durian yang tetap dan ia tidak menjadi masalah untuk terus bersaing dalam pasaran," tambah Nasir lagi.
Meskipun masih setahun jagung dalam perniagaan ini, pasangan ini mempunyai misi yang besar untuk meluaskan pasaran kek durian mereka. Namun mereka akur, ia perlu dibuat secara berperingkat.
"Banyak langkah. Kita perlu daftar dan dapatkan sijil. Kami turut sasarkan untuk pasarkan kek kami di pasaraya tempatan, stesen minyak di sekitar Lembah Klang dan kedai 24 jam,"
Kini kek durian dibuat dalam dua saiz. Yang paling kecil dijual dengan harga RM12 manakala kek sekilogram RM150. Mengunakan durian jenis Musang King, pasangan suami isteri ini turut membuat kek cawan.
Tambah Ain lagi, mereka kini dalam perancangan untuk mencipta kek cempedak memandangkan adanya permintaan.
"Mesti semua tertanya, macamana rasanya kek cempedak bukan? Insya-Allah kami akan cuba hasilkannya tidak lama lagi," katanya lagi.
Setiap bulan, mereka mendapat tempahan hampir 50 bungkus kecil. Manakala kek seberat sekilogram hampir lima biji sebulan. Selain itu mereka turut menerima tempahan kek coklat, kek berdekorasi dan sebagainya.
#durian #Gino Durian Cake #Kek Durian
;