Kejutkan isteri disangka tidur, rupanya telah pergi
Astro Awani
Mac 12, 2019 19:11 MYT
Mac 12, 2019 19:11 MYT
Seorang pembantu pengajar sebuah taska perpaduan ditemukan mati di ruang tamu kediamannya di kuarters kakitangan Jabatan Kerja Raya Kampung Nibong, Dungun pada Selasa.
Mangsa, Siti Hanisah Mohamed Zafuan, 25 tahun, dijumpai tidak sedarkan diri oleh suaminya kira-kira jam enam pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata ketika kejadian, suami mangsa yang bertugas sebagai pembantu jurutera mengejutkan isterinya yang disangka sedang tidur.
Apabila mangsa tidak memberikan sebarang respon, suaminya yang panik cuba memberikan rawatan kecemasan namun tidak berjaya.
“Susulan laporan polis yang kita terima, Ketua Polis Balai Dungun, ASP Kamarul bersama anggotanya telah bergegas ke lokasi.
“Jadi bila sampai, beliau melihat mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri. Susulan itu, ketua balai bersama anggota telah membawa mayat tadi ke rumah mayat Hosptal Dungun,” katanya kepada pemberita.
Mohamad Zohan berkata, pemeriksaan lanjut terhadap mayat mangsa tidak menemui sebarang kesan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
#Hosptal Dungun
#Jabatan Kerja Raya
#Kampung Nibong
#Ketua Polis Balai Dungun
#mati mengejut
#pembantu taska ditemui mati
#Siti Hanisah Mohamed Zafuan