Kejutan pulang ke kampung berakhir tragedi

Bernama
Mac 26, 2019 07:00 MYT
Gayah (kiri) ditenteramkan ahli keluarga selepas anak dan dua cucunya maut dalam kemalangan di KM55 Jalan Pekan-Rompin berdekatan dengan Kampung Badong, Pekan, pada Selasa. Gambar kecil: Nor Hasidah. --fotoBERNAMA
Pasangan suami isteri Kamaruddin Mohd Zin dan Nor Hasidah Asbullah ingin membuat kejutan kepada keluarga mereka di kampung dengan pulang ke kampung tanpa memberitahu sesiapa terlebih dahulu.
'Kejutan' yang dirancang bagaimanapun berakhir dengan tragedi apabila Nor Hasidah dan dua anak pasangan itu maut selepas tercampak keluar daripada kereta dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin berhampiran Kampung Badong di sini, pada Selasa.
Ibu kepada Nor Hasidah, Gayah Mat Aruf, 54, yang bekerja sebagai kerani Felcra berkata arwah yang menetap di Taman Air Biru di Pasir Gudang, Johor tidak pernah berbuat demikian sebelum ini, malah akan memuat naik status mahu pulang ke kampung di laman sosial Facebook.
"Saya hanya tahu mereka terlibat dalam kemalangan semasa berada di pejabat apabila ada yang menunjukkan gambar di WhatsApp. Saya cuba hubungi telefon bimbit anak, tapi tidak berjawab.
"Kami berbual menerusi telefon minggu lalu dan arwah beritahu mereka tak balik cuti sekolah ini kerana suaminya kurang sihat... jadi tiada siapa yang boleh memandu," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan di sini, pada Selasa.
BACA: Tiga beranak maut dalam nahas MPV dilanggar lori ais
Gayah berkata beliau hanya mengetahui kematian anak kedua daripada empat beradik itu pada pukul 12 tengah hari, namun hanya mengetahui hanya seorang cucunya yang turut meninggal dunia.
Katanya, kali terakhir mereka bertemu ialah pada cuti Tahun Baru Cina yang lepas, apabila anaknya menghantar pulang mentuanya, Selmor Salleh, 61, ke Kampung Temiang, Marang yang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumah mereka di Felcra In Situ di Hulu Berang.
Dalam kemalangan 9.45 pagi itu, Nor Hasidah, 32, dan dua anaknya Nur Auni Athirah Kamaruddin, 8, dan Muhammad Iffat Rizqi, 2, meninggal dunia selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka hilang kawalan dan berpusing sebelum masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah lori ais.
Kemalangan juga menyebabkan Kamaruddin, 33, operator kilang di Pasir Gudang dan anak kedua pasangan itu Nur Syadni Syakirah, 3, cedera.
Menurut anggota keluarga, kedua-duanya telah dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Sementara itu, Selmor memaklumkan semua anggota keluarganya tidak tahu mengenai kepulangan Kamaruddin, sedangkan sebelum ini anak keempat daripada tujuh beradik itu akan memberitahu sekurang-kurangnya kepada adik-beradiknya.
"Kalau dia nak terkejutkan mak cik sekalipun, pasti ada seorang dua adik yang tahu... kali ini kami memang tidak jangka dia nak pulang kerana dia selalunya pulang sekali dalam tempoh dua atau tiga bulan.
"Sedangkan bulan lalu baharu saja dia hantar mak cik pulang selepas mak cik melawat anak-anak yang bekerja di Pasir Gudang. Dia tahu mak cik mudah mabuk jika naik bas, jadi dia kata tidak mengapalah dia pulang walaupun hanya sehari," katanya.
-- BERNAMA
#cedera #Facebook #ibu #kejutan #keluarga #kemalangan #maut #meninggal dunia #Pasir Gudang #Pekan #pulang ke kampung #tiga beranak
;