Kejujuran, integriti harus jadi asas semua urusan perniagaan - Joachim

Bernama
Disember 3, 2023 06:30 MYT
Kejujuran dan integriti harus menjadi asas kepada semua urusan perniagaan sekali gus menyaksikan sesebuah negara termasuk Malaysia tidak akan berdepan isu rasuah dan salah laku, kata Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kejujuran dan integriti harus menjadi asas kepada semua urusan perniagaan sekali gus menyaksikan sesebuah negara termasuk Malaysia tidak akan berdepan isu rasuah dan salah laku, kata Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Justeru, beliau memuji usaha Asia Pacific Top Excellence Brand Committee (APC) memberikan anugerah Asia Pacific International Honesty Book of Records kepada usahawan dan perusahaan yang mengamalkan kejujuran serta integriti dalam urusan perniagaan mereka iaitu permulaan perjalanan ke arah masyarakat adil untuk semua.
"Saya telah menghadiri beberapa acara penyampaian anugerah yang mengiktiraf keuntungan, prestasi jualan tinggi, dan/atau pencapaian korporat sebagai penanda aras standard bagi kejayaan, yang sememangnya penting untuk menjadi usahawan berjaya namun anugerah hari ini amat unik kerana penganjur meraikan syarikat serta perusahaan yang mengamalkan kejujuran dan integriti dalam operasi perniagaan mereka.
"Jadi, tahniah kepada penganjur atas usaha yang besar dan berfikiran jauh ini. Saya yakin acara berprestij ini yang dianjurkan sejak 2002 akan terus menawar, memuji dan mengiktiraf usahawan dari Rantau Asia Pasifik yang telah mencapai prestasi cemerlang dengan kejujuran sebagai penanda aras utama," katanya.
Joachim, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata demikian pada majlis penyampaian anugerah itu di sini pada Ahad.
Beliau juga berharap lebih banyak perusahaan akan mengambil bahagian dalam acara seperti ini bagi meluaskan pengaruh kejujuran dan membantu menanam kepercayaan bahawa ia kekal sebagai dasar terbaik.
"Sebagai pemimpin perniagaan, anda secara automatik dan langsung bertanggungjawab untuk meningkat serta menambah baik ekonomi negara masing-masing.
"Perniagaan yang bagus bermakna lebih ramai kawan, semakin ramai kawan kita, semakin aman dunia ini. Semakin aman dunia bermakna semakin baik perniagaan dan kita boleh memakmurkan diri bersama-sama. Anda dan saya juga boleh menjadi duta keamanan bagi negara masing-masing," katanya.
Pada majlis itu, 13 pemenang menerima anugerah Asia Pacific International Honesty Book of Records manakala 38 lagi dianugerahkan Asia Pacific Book of Top.
-- BERNAMA
#kejujuran #integriti #perniagaan #Joachim Gunsalam
;