Kejohanan MSSD kecoh pelajar dikatakan cuba pukul pengadil

Bernama
Mei 22, 2024 20:15 MYT
Kejohanan MSSD di Kubang Pasu bertukar kecoh selepas seorang pelajar lelaki dikatakan cuba memukul pengadil perlawanan. - Foto media sosial/Sinar Harian
ALOR SETAR: Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Kubang Pasu bertukar kecoh selepas seorang pelajar lelaki dikatakan cuba memukul pengadil perlawanan pada kejohanan itu.
Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, berlaku pergaduhan antara pemain dua pasukan yang bertanding sebelum seorang pelajar menolak pengadil itu secara tiba-tiba.
Keadaan bertambah tegang apabila pengadil berkenaan dilihat cuba mengejar pelajar itu sebelum beberapa pemain daripada pasukan sama cuba menolak, menyepak dan menumbuk pengadil terbabit.
Bagaimanapun, beberapa individu yang berada di lokasi kejadian berjaya meredakan keadaan dan menenangkan pengadil itu.
Tinjauan Bernama di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna laman media sosial mengecam tindakan pelajar berkenaan yang disifatkan biadap dan kurang wajar sebagai pemain bola sepak yang mewakili sekolahnya.
-- BERNAMA
#Kejohanan MSSD #kecoh #pelajar pukul pengadil #Kubang Pasu