Keji! Tiga beradik di Semenyih jadi hamba seks bapa kandung
Sinar Harian
Oktober 31, 2018 15:28 MYT
Oktober 31, 2018 15:28 MYT
Bukan sahaja dicabul, tiga beradik disyaki dirogol bapa kandung sendiri sejak setahun lalu di rumah mereka di Semenyih.
Ketiga mangsa yang berusia setahun, tiga tahun dan lima tahun itu disyaki menjadi mangsa pemuas nafsu bapa yang berusia 32 tahun.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff menjelaskan, siasatan gangguan seksual terhadap ketiga beradik itu dibuat selepas menerima laporan ibu mangsa pada 23 Oktober lalu.
“Susulan laporan itu, ketiga mangsa dirujuk ke Doktor Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Kajang pada 24 Oktober lalu untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan lama pada ketiga mangsa dan pemeriksaan doktor pakar pembedahan mendapati tiada kecederaan pada bahagian dubur,” katanya.
Jelasnya, tangkapan terhadap suspek berjaya dibuat pada jam 11.45 pagi di tempat kerja suspek di Sungai Long, Kajang pada 25 Oktober lalu.
“Suspek ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Kajang pada 26 Oktober lalu untuk mendapatkan permohonan reman daripada Majistret. Kes disiasat di bawah Seksyen 376(b) Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Selangor pada hari ini dengan cadangan saspek dituduh dibawah Seksyen 14(a) AKSKK 2017,” katanya.