Kejayaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 perlu disambut rakyat - Tun Mahathir
Fareez Azman
Disember 31, 2019 01:24 MYT
Disember 31, 2019 01:24 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan Tahun Baharu 2020 menyeru kepada rakyat di negara ini agar bersama kerajaan dalam perlaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Ujarnya, jika usaha kerajaan itu didokong hasil kejayaannya akan memberi manfaat kepada rakyat.
"Blueprint baru yang kita sediakan ialah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan kita meletak sasaran bahawa pada tahun 2030 kita akan mencapai apa yang telah kita harap dapat kita capai
pada tahun 2020.
"Walaupun Kemakmuran Bersama ini kita sasarkan untuk dicapai pada tahun 2030, ia hanya akan berjaya jika kita mulakan usaha ke arahnya dari sekarang. Dan ia hanya boleh berjaya jika rakyat menyambut dan melaksanakan cara-cara yang diperkenalkan oleh Kerajaan.
"Untuk mengatasi kemiskinan, usaha golongan miskin diperlukan. Apabila yang miskin menambah pendapatan mereka melalui peluang yang akan diperkenal, barulah jarak antara miskin dan kaya dapat dikurangkan," kata Dr Mahathir
Tambah Dr Mahathir, memasuki tahun baharu 2020 yang sangat signifikan kepada beliau sendiri berikutan Wawasan 2020 yang dilancarkannya 30 tahun lalu.
Kerajaan Pakatan Harapan ujarnya, akan terus membawa negara mencapai negara maju.
"Walaupun ada debaran dan sedikit kerisauan jika berlaku sesuatu di luar jangkaan yang mungkin merugi dan menyusahkan, rata-rata kita perlu yakin bahawa usaha yang kita semai pada tahun
2019 akan membuahkan hasil pada tahun 2020," katanya
Tun Dr Mahathir pada masa turut melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2020 di Dataran Merdeka pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.
Kira-kira 80,000 pengunjung hadir dalam Majlis Sambutan Ambang Tahun Baru 2020 itu.
Selain pertunjukan bunga api, turut menarik perhatian pertunjukkan 300 Dron yang melakukan formasi bendera, bunga raya, burung kenyalang, durian Musang King dan Logo Tahun Melawat Malaysia.
#Ambang Tahun Baru 2020
#Dataran Merdeka
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Pakatan Harapan
#rakyat
#Wan Azizah
#Wawasan Kemakmuran Bersama 2030