Kejayaan transformasi melalui sentuhan kemanusiaan - Kiran Bedi
Tan Su Lin
Oktober 23, 2015 11:31 MYT
Oktober 23, 2015 11:31 MYT
Kisah Kiran Bedi yang menggunakan pendekatan serta sentuhan kemanusiaan dalam mengubah kehidupan banduan di penjara Tihar, Delhi, India antara usaha transformasi yang mencuri tumpuan pada Forum Tranformasi Global 2015.
Beliau juga adalah wanita berjawatan tinggi pertama di India yang berjaya memastikan kadar jenayah berulang di negara itu dikurangkan dengan hanya memperkenalkan sistem peti surat banduan, senaman yoga dan kelas membaca.
"Program yang bermula sejak 1994 di penjara India masih diteruskan hingga ke hari ini. Ia antara program paling lama dijalankan dalam penjara seluruh dunia. Bayangkan ribuan orang yang mendapat manfaat daripada program ini," kata Bedi.
"Kajian menunjukkan mereka yang melalui program ini tidak kembali melakukan jenayah dan keganasan," menurut Bedi sewaktu berkongsi pengalamannya dalam sesi bertajuk "Pemerkasaan Melalui Empati" di Forum Transformasi Global 2015 di ibu negara, pada Khamis.
Dalam usaha membawa transformasi, kayu pengukur kejayaan adalah berdasarkan kepada statistik ataupun pencapaian prestasi.
Namun transformasi yang dilakukan Bedi bermula apabila dilantik menjadi pengarah penjara Tihar sehingga berjaya merapatkan jurang keyakinan serta kepercayaan antara banduan dan pihak pengurusan penjara yang dipimpinnya ketika itu, menerusi kotak peti surat banduan.
"Kotak ini membolehkan mana-mana banduan menulis surat terus kepada saya. Ia akan pergi ke setiap 10,000 banduan dan mereka boleh menulis apa sahaja. Sebagai pengarah penjara, kotak yang dikunci ini hanya boleh dibuka dan dibaca oleh saya sahaja," katanya.
"Kotak ini menyalurkan semua maklumat kepada saya, daripada suhu di penjara hinggalah siapakah yang melakukan jahat. Bayangkan langkah mudah ini tidak memakan kos, tetapi cukup berkesan," tambah Bedi.