Kejayaan PPN bergantung kepada sokongan rakyat - Chandra Muzaffar
Hasimi Muhamad
Julai 26, 2021 21:41 MYT
Julai 26, 2021 21:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk memastikan Malaysia keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 bergantung sepenuhnya kepada sokongan rakyat.
Penganalisis politik, Chandra Muzaffar berpandangan, ini kerana PPN merupakan pelan yang dirangka dengan jelas untuk mudah difahami oleh rakyat termasuk strategi peralihan dalam setiap fasa pelan berkenaan.
Justeru, Presiden Pergerakan Keadilan Dunia (JUST) itu berkata pengurusan pelaksanaan PPN tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan semata-mata.
"Program ini memerlukan penyertaan mereka (rakyat). Bermakna mereka harus menyumbang secara tak langsung mengenai soal jangkitan, di mana mereka harus mengambil langkah-langkah dan aspek-aspek tertentu.
"(Antaranya) vaksinasi, peranan mereka adalah jelas kerana mereka harus sanggup bersedia (untuk divaksinasi). Ini bermakna, program ini bergantung 100 peratus kepada penyertaan dan sokongan rakyat jelata," katanya dalam temu bual mengenai PPN secara maya, pada Ahad.
COVID-19 | Kejayaan PPN bergantung kepada sokongan rakyat
Mengulas lanjut, Chandra berkata ketika ini PPN berada di landasan yang tepat kerana sokongan rakyat terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilihat semakin mengalakkan berbanding pada peringkat awal pelaksanaannya.
Katanya lagi, terlalu awal untuk Malaysia melihat kepada pelan pemulihan lain memandangkan beberapa negeri telah mula beralih ke fasa seterusnya.
Setakat ini, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis telah memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke Fasa Dua PPN.
"Mengikut kajian-kajian tertentu kita adalah negara paling tinggi penyertaan rakyat jelata dari segi peratusan yang menyertai program vaksinasi. Itu tanda kejayaan, bermakna rakyat menyokong.
"Di tempat-tempat tertentu mereka menunggu vaksin ini kerana mungkin pembekalannya, (mungkin menghadapi) masalah-masalah dan cabaran-cabaran tertentu. Mereka tunggu (vaksinasi), ini bermakna mereka mahu menyertai program ini," tambah beliau.
Dalam perkembangan sama, Chandra meletakkan keyakinan bahawa sasaran Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok, besar kemungkinan boleh direalisasikan pada Oktober ini, jika tiada sebarang halangan.
Ditanya mengenai perancangan Singapura untuk membolehkan kehidupan di pulau itu kembali normal, Chandra berkata, perkara itu juga perlu dijadikan matlamat utama dalam PPN.
Ini kerana katanya, ia boleh meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan sistem pentadbiran negara.
"Ini bermakna menghebahkan kepada khalayak ramai, kita melakukan segala ini termasuk vaksinasi supaya kita boleh kembali kepada keadaan normal secepat mungkin.
"Kalau boleh sebelum hujung tahun ini, kalau kita boleh kembali kepada normal. Ini bermakna dari segi cara hidup kita, sosial, dan ekonomi adalah normal, dan ini harus dijadikan matlamat kita.
"Ini kerana konsep pengurungan (perintah berkurung) bertentangan dengan fitrah manusia, di mana manusia dicipta sebagai insan yang harus bergaul dan berinteraksi bersama-sama orang lain," katanya.
#COVID-19
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#Dr Chandra Muzaffar
#Kejayaan PPN
#Pelan Pemulihan Negara
#Covid-19 Malaysia
#kematian COVID-19
#PKP 3 0