Kejayaan lawatan rasmi ke Jerman hasil kerjasama berpasukan perkhidmatan awam - PM
Nursyazwani Saiful Sham
Mac 18, 2024 10:15 MYT
Mac 18, 2024 10:15 MYT
PUTRAJAYA : Kejayaan lawatan rasmi di Jerman adalah hasil kerjasama berpasukan perkhidmatan awam, jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, negara-negara luar turut memuji imej perkhidmatan awam yang semakin baik dan berdisiplin.
Ini sekali gus dapat memenuhi permintaan negara luar untuk melabur ke Malaysia, jelasnya.
"Selain pelaburan, kerjasama teknikal, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan keupayaan kejuruteraan berjaya dicapai dan sambutannya luar biasa. Ia adalah terbaik yang pernah kita catat sebelum ini.
"Tetapi ini bukan soal Anwar, dia (pemimpin tinggi luar negara) tahu tentang pentadbiran kita, usaha jabatan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Luar dan kementerian-kementerian lain yang sudah membuat persiapan awal.
"Sebab itu saya selalu insaf bahawa sebagai kerjasama pasukan penjawat awam sangat penting kerana ia dapat meningkatkan keyakinan mereka. Sekarang bila dia nilai dia kata jauh lebih cekap, keputusan lebih cepat dan tidak berlaku ketirisan," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri pada Isnin.
Pada masa sama, Anwar turut menyatakan beliau berbangga berkhidmat dengan semangat penjawat awam yang sedemkian kerana hasilnya dapat disaksikan menerusi sambutan luar biasa oleh negara-negara luar.
Beliau turut yakin, dengan semangat ini ia boleh melonjakkan ekonomi negara.
Baru-baru ini, Malaysia berjaya mencapai minat pelaburan baharu dengan potensi nilai RM45.4 bilion hasil lawatan Anwar Ibrahim ke Jerman.
Anwar berkata, pelabur Jerman dan juga dari negara Eropah lain yakin dengan Malaysia disebabkan kestabilan politik, dasar yang jelas dan kecekapan jentera kerajaan dalam proses kelulusan projek.
Sementara itu, mengulas kritikan kononnya lawatan ke Jerman adalah untuk berseronok, Anwar menangkis dakwaan itu dan menegaskan lawatan berkenaan adalah untuk menaikkan imej Malaysia.
“Percayalah, di Jerman lima hari kedai mana pun saya tidak pergi, saya tiada kerja lain (hanya) dari hotel ke bilik mesyuarat dan ada waktu lapang saya panggil sarjana seluruh Eropah bincang isu Islamofobia.
“Adakah sebagai perdana menteri saya tidak boleh ke luar negara? Saya terpaksa kerana kita tidak dapat dukungan sebegitu rupa kalau tidak santuni,” kata beliau.
Anwar turut memohon maaf sekiranya tindakan beliau berjalan-jalan ketika waktu senggang pada lawatannya di Jerman dianggap satu kesalahan.
Sementara itu, Anwar berkata syarikat pelaburan dari China, Australia atau Jerman yang telah lama bertapak di negara ini turut memuji imej positif negara dan perkhidmatan awam dalam menguruskan urusan pelaburan.
“Mereka (pelabur) nyatakan kepada saya, mutakhir ini ada satu disiplin baharu dan mereka puji sungguh dalam cara kita menyantuni, menjawab permintaan dan meluluskan permintaan.
“Saya harap kita (penjawat awam) tumpu ini, percayalah dalam beberapa tahun, kita boleh angkat semula martabat negara kita,” kata Perdana Menteri.