Kejayaan Dasar Pendidikan Digital perlu perubahan asas - Zainal Abas

Faida Rahim
Disember 13, 2023 06:20 MYT
Kementerian Pendidikan Malaysia telah memulakan langkah merangka tiga fasa dalam menyediakan dan menambahbaik kemudahan fasiliti komputer di peringkat sekolah. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Faktor kejayaan kritikal dalam pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD) memerlukan perubahan asas untuk merangka teras, strategik dan inisiatif.
Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Zainal Abas memberitahu terdapat beberapa faktor kritikal bagi menjayakan DPD iaitu murid fasih digital, pendidik kompeten digital dan budaya kepimpinan digital berwawasan.
"Oleh sebab itu Kementerian Pendidikan telah memulakan langkah merangka tiga fasa dalam menyediakan dan menambah baik kemudahan fasiliti komputer di peringkat sekolah.
"Misalnya pada tahun 2022, kita telah membekalkan lebih 3,000 komputer di seluruh negara melibatkan 3,000 sekolah. Dengan 70,000 lebih komputer dibekalkan pada ketika itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah beliau, pengupayaan infostruktur dan infrastruktur, kandungan digital berkualiti dan rakan strategik yang komited antara faktor kejayaan lain dalam pelaksanaan DPD.
Tambah beliau, KPM turut menambah baik kemudahan komputer di kesemua sekolah melibatkan 3,455 sekolah melibatkan 68,000 unit komputer dalam fasa kedua.
Dalam pada itu, lebih 3,000 unit komputer akan dibekalkan dalam fasa ketiga ke seluruh sekolah pada tahun hadapan.
"Melalui gentian optik, kita ada 5,220 buah sekolah yang dilengkapi gentian optik, 4900 sekolah dengan talian jalur lebar tanpa wayar 4G dan 505 talian satelit," katanya.
#Kementerian Pendidikan #Agenda Awani #Dasar Pendidikan Digital #Zainal Abas
;