Kejayaan Astro bangunkan kandungan kreatif jadi ikutan negara lain - Shabery Cheek

Tan Su Lin
Februari 13, 2014 11:59 MYT
Industri kandungan kreatif tempatan tidak boleh diabaikan malah perlu diberi lebih fokus agar setaraf dengan peringkat antarabangsa.
Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia kerana, pembangunan industri itu terbukti mampu menjana pendapatan tinggi kepada negara.
Ahmad Shabery memberi contoh negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Korea yang berjaya menjana pulangan tinggi menerusi bidang kreatif seperti industri filem dan lakonan mengatasi penjanaan ekonomi daripada industri pembuatan.
"Kalau lihat walaupun pada asasnya kita agak ke belakang banding negara maju lain US, UK, Korea yang bukan sahaja maju dari segi teknologi dan infrastruktur tetapi di UK jumlah wang yang dihasilkan ekonomi melalui industri kreatif menerusi filem dan lakonan mengatasi hasil dilahirkan industri pembuatan." jelas beliau.
"Itu tanda aras kemajuan iaitu penghasilan banyak kandungan tempatan. Korea selatan juga belajar daripada pengalaman krisis mata wang asing, di mana mereka berhijrah kepada industri kandungan seperti filem Korea seperti Winter Sonata. Jadi dalam negara, kita mesti tidak boleh mengabaikan industri ini." katanya lagi.
Beliau turut menarik perhatian kejayaan Astro Malaysia Holdings Bhd membangunkan kandungan kreatif tempatan sehingga menjadi ikutan negara lain.
"Bukan sahaja kandungan orang lihat drama yang dibuat oleh Astro tetapi format-format yang tertentu seperti Maharajak Lawak misalnya boleh dijual dan orang boleh mencontohi. Imam muda misalnya, itu satu perkara dianggap original yang betul-betul asli dan saya difahamkan negara-negara Timur Tengah pun ingin mengambil format itu untuk diperkenalkan di negara mereka dan ini melonjak negara Malaysia dengan menghasilkan kandungan yang baik." kata Ahmad Shabery.
Beliau turut mengiktiraf peranan yang dimainkan Astro dalam melengkapkan lagi ekosistem industri kandungan kreatif negara yang bukan sahaja menyumbang kepada penjanaan ekonomi malah menghasilkan bakat-bakat muda.
"Saya begitu teruja bukan apa sahaja mengenai Astro tetapi sumbangan Astro kepada ekonomi dan industri kreatif. Bagaimana ia berjaya melahirkan ramai bakat anak muda yang selama ini bergantung kepada stesen TV sahaja. Melalui Astro, ia telah memberi ruang terlalu banyak kepada pembekal kandungan, bakat pelakon, pengarah, dan jurukamera yang keseluruhannya membina suatu ekosistem yang besar kepada negara ini. Berpuluh ribu pekerjaan dihasilkan melalui Astro, tidak disebut lagi bantuan yang diberikan kepada pembangunan jenama-jenama lain." tambah Ahmad Shabery.
Ketika ditanya apakah rancangan kegemaran Astro menteri itu, beliau memilih saluran sukan Astro.
"Saya tetap suka pada sukan. Tidak kira sukan di saluran sukan antarabangsa seperti Fox Channel mahupun tempatan seperti Astro Arena yang menjadi suatu kejayaan di mana ia satu-satunya saluran sukan Asia Tenggara yang menghasilkan kandungan sukan tempatan yang datang daripada Astro." kata Ahmad Shabery.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Penyiaran Asia (Astro) di Bukit Jalil.
Dalam lawatan kira-kira 2 jam itu, Ahmad Shabery meluangkan masa meninjau operasi pusat penyiaran Astro termasuk studio dan juga stesen radio Astro seperti ERA fm, MY FM, hitz.fm, MIX fm, LiteFM, SINAR fm dan THR.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan dan Ketua Pegawai Komersial Astro, Liew Swee Lin.
#Astro #kandungan kreatif #Shabery Cheek