Kejayaan anak muda B40, inspirasi kepada masa depan
Nazialita Geynna Maharan
Oktober 7, 2017 10:11 MYT
Oktober 7, 2017 10:11 MYT
Kejayaan masyarakat luar bandar dalam kelompok B40 hari ini bakal mencorak dan memberi inspirasi terbaik buat anak-anak muda untuk mengubah status dan tahap kehidupan mereka pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Perladangan, Pertanian,Penerangan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata apa yang dilakar dan dibentuk oleh generasi Y di kalangan penduduk luar bandar akan memberi intipati yang jelas kepada mereka yang masih berada di bangku sekolah hari ini.
Katanya, perlu wujud satu anjakan paradigma dan kesedaran moral di dalam diri setiap anak muda di luar bandar untuk memajukan diri serta keluarga mereka untuk bersaing di dunia global bermula dari sekarang.
“Perlu kita ambil iktibar dan memahami bahawa anak-anak mudalah yang akan mewarisi negara satu masa nanti, justeru sebuah impian perlu ada dalam diri kita atau kita akan kekal di dalam situasi kemiskinan dan mundur daripada harapan negara untuk terus melihat rakyatnya maju.
“Tiada siapa boleh mengubah kenyataan ini, dan keadaan hidup masing-masing, hanya diri kita sendiri mampu belajar lebih baik, menimba ilmu kemahiran dan kepakaran secara tekun dan membudayakan, melangkah setiap hari dengan pengalaman baru, semua ini di atas tangan kita sendiri,”katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam Jelajah Kesedaran Program 2U2I anjuran Taj International College (TIC) Peringkat Lenggong baru-baru ini yang dihadiri lebih 500 lepasan SPM dan STPM di sekitar daerah itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata objektif sebenar penganjuran program itu adalah untuk memartabatkan kesan pendidikan di dalam jati diri setiap peserta yang hadir.
Katanya, adalah amat merugikan sekiranya anak-anak muda di luar bandar tidak mengambil peluang untuk mempelajari sedikit sebanyak mengenai pendedahan industry melalui program tersebut.
“Harapan sebenar TIC adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan malah memberi ruang untuk generasi muda yang ingin melanjutkan pengajian masing-masing.
“Dalam masa yang sama, kesemua ini akan membawa kepada matlamat utama diri kita satu hari nanti, iaitu membasmi kadar keciciran pendidikan khususnya di kalangan pelajar luar bandar secara proaktif dan keseluruhannya,” katanya lagi.
Turut hadir, wakil Yayasan Bina Upaya (YBU), Ghafaruddin Usuluddin serta wakil penaja, Dewan Bahasa dan Pustaka.