Kejayaan 100 peratus vaksinasi di Labuan, bukti strategi kerajaan berkesan - Muhyiddin

Syafik Shukri Jalil
September 9, 2021 16:13 MYT
Muhyiddin turut mengingatkan orang ramai di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk terus patuh kepada SOP ditetapkan susulan pengumuman peralihan ke fasa dua PPN bermula Jumaat ini. FOTO: REUTERS
KUALA LUMPUR: Strategi kerajaan dalam mempertingkatkan kadar vaksinasi ketika berlaku peningkatan kes positif COVID-19 di Labuan pada Mei dan Jun lalu terbukti berkesan, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, ini terbukti apabila Wilayah Persekutuan itu mencapai 100 peratus populasi dewasa telah lengkap divaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Malah tambah beliau, kejayaan itu terbukti berdasarkan data penurunan kemasukan pesakit COVID-19 di hospital selain pengurangan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan.
‘’Sepertimana yang kita semua maklum, Labuan merupakan wilayah pertama yang berjaya beralih ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
‘’Warga Labuan kini dapat menikmati kelonggaran di semua sektor ekonomi dan sosial tertakluk kepada SOP dalam norma baharu.
‘’Pencapaian ini sememangnya tidak dapat dicapai tanpa kerja keras Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) ditambah kerjasama erat kesemua agensi kerajaan, Majlis Perwakilan Penduduk serta rakyat Labuan,’’ katanya.
Tambah Muhyiddin, kejayaan Labuan memberi suntikan vaksinasi kepada lebih 68,500 penduduk dewasa di wilayah itu merupakan pencapaian membanggakan dan memberi inspirasi dalam perang menentang COVID-19.
BACA: Labuan capai 100 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi COVID-19
‘’Ini membuktikan bahawa usaha dan perancangan kerajaan dalam "roll-out" PICK kini mula menunjukkan hasil.
‘’Berkat usaha semua pihak baik kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, swasta dan juga rakyat, saya percaya Malaysia akan terus berada di landasan yang tepat dalam mencapai imuniti kelompok, sekali gus memulihkan ekonomi negara.
‘’Tahniah kepada penduduk Labuan. Patuhi SOP dan teruskan kawalan risiko kendiri untuk memastikan penularan wabak COVID-19 sentiasa terkawal. Insya-Allah, saya yakin negeri-negeri lain juga akan dapat mencapai kejayaan ini dalam masa terdekat,’’ ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan orang ramai di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk terus patuh kepada SOP ditetapkan susulan pengumuman peralihan ke fasa dua PPN bermula Jumaat ini.
#100 peratus vaksinasi #kadar vaksinasi Labuan #kes COVID-19 Labuan' #Majlis Pemulihan Negara
;