Kejam! 11 ekor kucing mati diracun

Afiezy Azaman
Mei 28, 2020 12:32 MYT
Sebanyak 11 ekor kucing ditemui mati dipercayai diracun di sebuah pangsapuri, Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. Gambar Facebook Persatuan Haiwan Malaysia
Sebanyak 11 ekor kucing ditemui mati dipercayai diracun di sebuah pangsapuri di Bukit Beruntung, Rawang, petang semalam.
Menurut laman media sosial Facebook milik Persatuan Haiwan Malaysia, haiwan malang itu ditemui mati bergelimpangan akibat perbuatan kejam itu.
"Kegembiraan menyambut Aidilfitri tercemar apabila 11 ekor kucing ditemui mati bergelimpangan dibunuh kejam akibat diracun di Apartment Seri Lily Bukit Beruntung.
"Ini merupakan satu perbuatan amat zalim dan tidak berperikemanusiaan," kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam muat naik di Facebook hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika ketika dihubungi Astro AWANI berkata, pihaknya memohon kepada saksi kejadian untuk tampil membantu menyalurkan maklumat berhubung kes itu.
"Kami berharap saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan dan saksi tidak perlu takut kerana identiti mereka akan dirahsiakan.
"Kami akan membantu menerangkan proses perjalanan undang-undang dan berurusan dengan pihak berkuasa, jangan bimbang dan takut," jelasnya.
Tambah beliau, walaupun apa alasannya, jika kucing-kucing itu dikatakan mengganggu sekali pun, perbuatan membunuh haiwan itu adalah bertentangan dengan undang-undang.
"Merupakan kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan jika pelaku berjaya dijejak, hukuman boleh dikenakan.
"Iaitu penjara minimum satu tahun sehingga maksimum tiga tahun atau denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000," jelasnya.
Persatuan itu memohon saksi menghubungi pihaknya dengan segera menerusi aplikasi WhatsApp di nombor 6011-20901097 demi keadilan buat haiwan tersebut.
#Aidilfitri #Animal Malaysia #Bukit Beruntung #diracun #Facebook #kucing #mati #NGO #penjara #Persatuan Haiwan Malaysia #WhatsApp
;