Kejadian tetak dan tembak di Chan Sow Lin bagai filem aksi - Saksi

Bernama
Januari 11, 2016 18:37 MYT
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, penjenayah itu bersama seorang rakannya bertindak menyerang 'Datuk' terbabit yang sedang bersarapan di sebuah gerai di tepi jalan itu. - Gambar hiasan
"Macam filem aksi," kata seorang saksi kejadian kes tembak dan tetak di sebuah gerai di Jalan Chow Lin pagi tadi.
Saksi yang dikenali sebagai Lee berkata beliau dan dua rakan ketika kejadian, iaitu kira-kira pukul 9.20 pagi sedang bersarapan di gerai tersebut apabila dua lelaki muncul dan tiba-tiba menyerang salah seorang daripada pelanggan gerai itu, yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Berikutan itu pengawal peribadi ahli perniagaan yang bergelar Datuk itu pula bertindak balas dengan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kedua-dua suspek tersebut.
BACA: Pengawal peribadi halang penjenayah serang 'Datuk' dengan parang
Lee berkata hampir setiap hari beliau bersarapan di gerai terbabit dan "tidak menyangka insiden ini akan berlaku di hadapan mata saya. Malah pelanggan yang lain turut melarikan diri selepas terdengar bunyi tembakan.
"Akibat tembakan itu, salah seorang lelaki berparang itu terbaring berlumuran darah di tepi kedai," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, wanita pemilik gerai yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata kedua-dua ahli perniagaan bergelar Datuk itu sering bersarapan di gerainya bersama pengawal peribadinya.
"Ketika itu saya sedang membancuh teh di dapur, saya lihat ada dua lelaki tiba-tiba masuk dan terus menetak bahu kanan salah seorang Datuk itu.
"Lantas, pengawal peribadi salah seorang ahli perniagaan itu yang duduk berhampiran meja majikannya, terus mengeluarkan pistolnya dan melepaskan tembakan. Salah satu peluru itu telah terkena kaki kiri anak saudara saya yang sedang menghantar minuman kepada pelanggan lain," katanya.
Wong berkata tembakan itu telah menyebabkan salah seorang dari dua penyerang rebah dan terbaring di tepi gerainya, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri menaiki sebuah kereta pacuan empat roda.
"Mangsa (Datuk) yang cedera itu terus dibawa oleh rakannya ke hospital manakala pengawalnya menunggu bersama penyerang itu sehingga polis sampai.
"Penyerang serta anak buah saya telah dibawa ke hospital oleh anggota polis yang tiba di tempat kejadian," katanya.
Polis menemui tujuh kelongsong peluru SME 9MM 1.14 dan satu anak peluru dan turut merampas dua bilah parang berukuran 10 inci serta sehelai T-Shirt.
#Chan Sow Lin #Datuk #tembak
;