Kejadian yang meragut dua nyawa termasuk seorang pemandu pelancong di Taman Negara Mulu Sarawak pada Jumaat lalu merupakan satu kejadian luar biasa.

Demikian jelas Willie Kajan, 63, yang juga penduduk di kawasan pendalaman itu.

Meskipun sering berlaku kejadian kepala air di sekitar kawasan Gua Rusa, namun insiden yang mengorbankan cucu saudaranya Roviezal Robin, 20, itu perlu dijadikan iktibar.

“Dia pemandu pelancong yang bagus, dia cucu yang bagus, dia tidak suka bergaduh. Dia suka tanya saya atuk mengenai sejarah lama Taman Negara Mulu.

"Saya sangat sedih cucu Robi ini, seorang pemandu pelancong yang mencari rezeki, dia begitu muda," katanya.

Willie Kajan sedih dengan kejadian menimpa cucunya. Astro AWANI


BACA: Kes Gua Rusa: Kematian Roviezal dirasai rakan sekerja

Astro AWANI berkesempatan ke Taman Negara Mulu bagi melihat dengan lebih dekat bagaimana kejadian banjir itu berlaku.

Kami bertemu bersama Undi Mamat, 37, yang berpengalaman lebih tujuh tahun menjadi pemandu pelancong di taman negara itu.

Menurutnya, kejadian yang sama pernah berlaku sebelum ini ketika dia membawa sekumpulan pelancong di taman negara terbabit.

“Sebelum ini, ada pengalaman hadapi kepala air yang susah diduga bila akan berlaku.

"Memang bahaya, kalau tersilap sikit pilih jalan, memang akan dibawa arus,” jelasnya.

Menceritakan detik cemas ketika berdepan kepala air, ujar Undi, ia berlaku terlalu pantas.

“Ya, ketika ia berlaku, air itu sampai kurang dari dua minit. Kami terperangkap di laluan kepala air,” katanya.

Undi Mamat yang juga pemandu Taman Negara Mulu pernah melalui detik cemas dibadai kepala air. Astro AWANI

Kami cuba melalui kawasan lokasi kejadian, selepas mayat mangsa kedua ditemui pada pukul 10.20 pagi Isnin.

Bagaimanapun, kami hanya dibenarkan menjejaki separuh perjalanan, kerana kawasan terbabit ditutup bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Selain itu cuaca yang tidak menentu mendedahkan kami kepada bahaya.

Perjalanan dari pintu Gua Rusa sehingga ke hujung gua terbabit adalah sejauh 1.1 kilometer dengan trek yang mencabar menyambung kawasan 'Garden of Eden', iaitu kawasan dimana kepala air menghayutkan mangsa.


Ketika kejadian, mangsa yang membawa sekumpulan pelancong dikatakan sedang berehat selepas membatalkan hasrat untuk ke air terjun berhampiran.

Bagaimanapun arus kepala air yang deras dari lembah berhampiran mengakibatkan mangsa dan seorang pelancong dibawa arus, dan akhirnya meragut nyawa pelancong Belanda, Peter Hans, 66, dan Roviezal Robin, 20.

Mayat Peter ditemui sehari selepas kejadian di sekitar penghujung Gua Rusa berhampiran lokasi kejadian.



Manakala mayat Roviezal ditemui pada Isnin kira-kira jam 10.20 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat.