Kejadian kepala air di Sintok luar jangkaan - APM Kedah

Sinar Harian
November 9, 2023 15:00 MYT
Mohd Muaz (kiri) semasa melakukan pemantauan di Sungai Kedah menjelang MTL, di Alor Setar pada Khamis. -Foto Sinar Harian
ALOR STAR: Kejadian kepala air di Bukit Kachi berhampiran kampus utama Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di Kubang Pasu pada Selasa adalah kali pertama berlaku dan tidak berada di dalam senarai 39 lokasi panas di Kedah.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, kepala air boleh berlaku di mana-mana lokasi bukit atau pun di tepi sungai dan orang awam diminta agar sentiasa berwaspada.
Menurutnya, orang awam dinasihatkan agar mengelak daripada melakukan aktiviti luar di kawasan bukit dan tepi sungai sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengelak kejadian kepala air.
"Kami tidak melarang orang awam untuk menikmati aktiviti luar di taman bukit dan tepi sungai terutamanya semasa hari perayaan Deepavali tetapi sila berhati-hati apabila berbuat demikian.
“Insiden kepala air di Sintok adalah kejadian yang tidak dijangka dan mungkin terdapat lebih banyak kawasan bukit dan tepi sungai yang boleh terdedah kepada fenomena ini," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas melakukan pemantauan di Sungai Kedah, di sini.
Mohd Muaz berkata lagi, orang awam yang mengunjungi pusat rekreasi atau sungai perlu mematuhi langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya dalam tempoh MTL.
Menurutnya, berdasarkan makluman Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), monsun ini akan berterusan dari 9 November hingga Mac tahun depan.
"Tanda-tanda fenomena kepala air adalah air yang mengalir deras berbuih atau keruh disertai dahan pokok dan daun kering.
"Selain itu, orang awam perlu awasi awan gelap di puncak bukit. Ini mungkin menunjukkan hujan lebat secara tiba-tiba dengan jumlah hujan yang besar," ujarnya lagi.
Pada Selasa, fenomena kepala air berlaku di Bukit Kachi berhampiran kampus utama UUM di Sintok berikutan hujan lebat dan ribut petir selama beberapa jam.
Fenomena itu menyebabkan tapak perkhemahan lereng bukit, empat rumah, surau dan taman di dalam UUM dinaiki air. -Sinar Harian
#kepala air #Bukit Kachi #lokasi panas #MetMalaysia
;