Keindahan Islam perlu dijelmakan penganutnya - Sultan Nazrin
Madiha Abdullah
Ogos 23, 2024 11:00 MYT
Ogos 23, 2024 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kemuliaan Islam tidak bergantung hanya pada klausa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya perlu dibuktikan dalam kehidupan melalui dukungan para penganutnya.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Islam tidak akan dapat membuktikan relevansinya seandainya penganutnya gagal menjelmakannya dalam kehidupan seharian.
Titah baginda, keagungan dan kemuliaan Islam perlu dicerminkan melalui sifat dan watak insaniah ummah, bukan sekadar retorik menerusi percakapan atau janji kosong.
"Terdapat jurang besar yang dihadapi oleh masyarakat Islam ketika ini, antara bilangan penganut yang besar daripada segi angka, berbanding penganut yang benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan Islam.
"Realiti yang berlaku pada hari ini, memberikan gambaran bahawa masih ramai ummah yang belum menghayati roh Islam dalam erti kata sebenarnya.
"Oleh itu, menjadi tugas besar kita yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai khalifah untuk bersifat berani memamah realiti dan tidak bersifat defensif yang akan menyebabkan umat Islam terus berada dalam budaya penafian," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-72 di sini, hari ini.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baginda selanjutnya bertitah, umat Islam harus kembali kepada al-Quran dan melaksanakan segala prinsip dan adab yang terkandung dalam al-Quran dalam usaha menterjemah keindahan Islam.
Sultan Nazrin yang juga Pengerusi MKI bertitah, sebagai sebuah badan syura, MKI harus menghayati semangat syura bagi membolehkan percambahan minda dan pertukaran pendapat, serta berusaha menghargai persamaan dan menjauhi pertelingkahan.
"Sewajarnya ahli-ahli MKI menghayati dan mempelopori semangat syura, berusaha sebaik mungkin menghargai elemen-elemen persamaan dan menjauhi sikap yang membesar-besarkan elemen-elemen perbezaan.
"Perlu diusahakan jambatan penghubung untuk mempertemukan pendirian dan tafsiran yang berbeza agar dapat dielakkan berlakunya pertelingkahan, apatah lagi pertelingkahan secara terbuka yang bersifat konfrontasi hingga boleh menjadi punca keretakan hubungan dan pada akhirnya mengakibatkan ummah berpecah," titah baginda lagi.